Tuesday, September 29, 2015

Ganjaran murid raih 5A UPSR



Ghazali Taib
Ghazali Taib
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.309 juta untuk diagih kepada seramai 2,618 murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, setiap murid akan menerima RM500 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Menurutnya, perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada tahun lalu bagi menghargai kejayaan murid yang terpaksa menduduki UPSR sebanyak dua kali tahun lepas.

“Wang telah disalurkan kepada Yayasan Terengganu dan agihannya akan dibuat awal bulan depan oleh Menteri Besar sendiri,” katanya ketika diminta mengulas rungutan ibu bapa berhubung ganjaran kepada murid cemerlang UPSR tahun lepas.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Zakat dan Takrifan Asnaf Kontemporari di Dewan Teater Wisma Darul Iman. Hadir sama, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Mohd Zaidi Muda.

Ghazali berkata, kerajaan negeri berjanji untuk memberi insentif sama kepada murid mendapat 5A  tahun ini.

“Ini membuktikan Terengganu sentiasa memperkasakan bidang pendidikan dan sanggup peruntuk bajet besar bagi kecemerlangan pendidikan secara keseluruhannya.

“Ia termasuk program Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah dalam mengadakan tuisyen, kursus motivasi, solat hajat serta pelbagai siri peperiksaan yang diadakan sejak awal tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: