Sukarelawan yang terlibat dalam gotong-royong membersihkan Pulau Perjudi.
TELOK KEMANG – Bergotong-royong membersihkan kawasan pantai kerap menjadi pilihan sukarelawan untuk melakukan kerja amal berkenaan sekali gus ia menjadikan aktiviti amal popular di Port Dickson.
Namun berbeza dengan sekumpulan sukarelawan yang berkenalan di laman sosial Facebook, mereka memilih untuk melakukan kerja amal membersihkan Pulau Perjudi yang terdapat di perairan Pasir Panjang, Port Dickson.
Mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot pisang, seramai 30 sukarelawan yang datang dari sekitar Port Dickson, Seremban, Selangor dan Kuala Lumpur bertolak ke Pulau Perjudi dari Pantai Cermin dengan misi untuk membersihkan pulau berkenaan daripada terus menjadi tempat perangkap sampah di tengah laut.
Salah seorang sukarelawan, Rusilawati Kamarudin, 47, berkata, idea mula timbul selepas dia bersama beberapa rakannya melihat banyak timbunan sampah sarap di pulau berkenaan ketika melakukan aktiviti water trekking, kira-kira dua minggu lalu.
Rusilawati yang juga pengusaha Murex Watersport di Pantai Cermin berkata, dia kemudiannya memuat naik status mengenai cadangan aktiviti gotong-royong di Facebook beberapa grup rekreasi.
“Saya tak sangka sambutan diterima sangat baik malah sukarelawan terlibat berbilang bangsa dan ia menjadikan aktiviti amal ini lebih menarik serta bermakna.
“Selain dapat memulihara alam sekitar, kami juga dapat menyuburkan semangat perpaduan,” katanya.
Tambah Rusilawati, Pulau Perjudi antara pulau yang cantik dan mempunyai daratan agak luas serta sesuai untuk dijadikan pelbagai aktiviti rekreasi.
“Namun sampah sarap yang terperangkap di pulau berkenaan mencacatkan pemandangan pulau itu,” katanya.
Bagi Nursyahida Sahli, 28, pula berkata, ini kali pertama dia menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan pulau di Port Dickson.
Dia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, inisiatif mengadakan gotong-royong di Pulau Perjudi sangat bertepatan memandangkan ia dipenuhi dengan sampah sarap.
“Sampah sarap ada di mana-mana dan botol minuman plastik, beg plastik, polisterin dan tin kosong antara yang paling banyak dijumpai.
“Jika keadaan ini terus dibiarkan, tidak mustahil satu hari nanti pulau ini akan dipenuhi dengan lebih banyak sampah sarap,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: