Monday, September 28, 2015

Lembaga Peperiksaan Umum Format Baharu UPSR Hari Ini




PETALING JAYA: Lembaga Peperiksaan dijangka mengumumkan format baharu untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Isnin.
Menurut sumber, format baharu untuk peperiksaan bagi murid Tahun Enam itu akan menyerupai konsep Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Format UPSR sedia ada adalah berdasarkan prestasi murid-murid di dalam peperiksaan semata-mata.
Di bawah sistem itu, murid-murid di sekolah kebangsaan menduduki lima kertas peperiksaan manakala tujuh kertas bagi murid-murid di sekolah vernakular.

Ini kerana terdapat dua kertas untuk peperiksaan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Pada tahun depan, muridi-murid di sekolah kebangsaan akan mengambil enam kertas dengan kertas kedua untuk mata pelajaran Sains manakala lapan kertas di sekolah vernakular.
Pada masa sekarang, murid di sekolah kebangsaan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu (dua kertas), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains manakala mereka yang belajar di sekolah vernakular akan diuji kemahiran dalam Bahasa Cina atau Bahasa Tamil.
Semua murid menduduki ujian bakat pada hari terakhir peperiksaan.
Difahamkan perubahan tersebut adalah selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan pada 2011, bermula dengan murid Tahun Satu.
Apabila memperkenalkan KSSR, Kementerian Pendidikan pada ketika itu berkata, ia bertujuan melahirkan insan yang holistik dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.

KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang diperkenalkan pada 1983 dan dikaji semula pada 2003.

Perubahan dilakukan dalam bidang berkaitan kurikulum, penilaian, latihan guru, pemantauan serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

KSSR memberi penekanan kepada pembelajaran yang menyeronokkan, pemikiran kritis dan kreatif, kemahiran penaakulan, komunikasi dan teknologi maklumat.

Kementerian itu berkata, KSSR adalah berdasarkan kepada enam bidang utama iaitu komunikasi, sikap dan nilai kerohanian, kemanusiaan, literasi sains dan teknologi, pembangunan fizikal dan keperibadian demi melahirkan insan holistik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: