JARINGAN penalti Yohan Cabaye ketika perlawanan berbaki 19 minit membantu Crystal Palace menewaskan Watford 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, malam Ahad.
Kemenangan itu meletakkan Crystal Palace di kedudukan keenam dengan mengutip 12 mata.
Crystal Palace dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain Wilfried Zaha dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Allan Nyom.
Ia adalah kekalahan pertama Watford di gelanggang sendiri pada musim ini.
Watford mempunyai beberapa peluang untuk menggegar gawang lawan tetapi percubaan Jose Jurado terkena palang.
Crystal Palace disifatkan sebagai antara pasukan terbaik pada musim ini kerana corak serangan mereka.
Pengurusnya Alan Pardew menarik nafas lega apabila pasukan tersebut dapat mengelak kekalahan ketiga berturut-turut.
"Dari perspektif seorang pengurus, ia adalah hari yang baik untuk saya dan juga pasukan.
"Fokus pemain agak tinggi pada hari ini. Mereka beraksi dengan cemerlang dan kejayaan berpihak pada kami.
"Saya jarang tersenyum tetapi saya tersenyum hari ini kerana amat gembira. Ia bukan persembahan yang terbaik tetapi mereka (pemain) membuat saya gembira," kata Pardew.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: