Tuesday, September 22, 2015

Tarikan gajah liar di Kuala Gandah



Tarikan gajah liar di Kuala Gandah
PKGK Kuala Gandah menerima kehadiran pelancong hampir 200, 000 setiap tahun sejak dibuka kepada orang awam pada tahun 2000.
LANCHANG - Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang, Pahang ditubuhkan pada 1989 oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). 
PKGK ini ditubuhkan bertujuan untuk memastikan perlindungan gajah dan pengurusan habitatnya dapat dilaksanakan dengan baik selain berfungsi sebagai pusat untuk menambah pengetahuan, kesedaran dan sokongan umum mengenai kepentingan pemuliharaan gajah.
Selain itu ia juga digunakan sebagai pusat, kajian, pendidikan dan eko-pelancongan selepas mencatatkan kehadiran pelancong hampir 200, 000 setiap tahun.


Hampir 800 ekor gajah liar berjaya ditangkap
Pengarah PKGK Nasharudin Othman berkata, sejak Unit Gajah Jabatan Perhilitan ditubuhkan pada 1974, hampir 800 ekor gajah liar telah berjaya ditangkap dan dipindahkan daripada kawasan konflik gajah ke habitat semula jadi yang selamat untuk kumpulan gajah berkenaan. 
Menurutnya, gajah pertama ditangkap di kawasan Felda Jengka, Pahang pada tahun 1974 menggunakan teknik melaisekar yang juga dibantu dengan pelatih berpengalaman daripada Assam, India. 
“Namun, teknik berkenaan didapati tidak praktikal di hutan tropika Malaysia dan ia ditukar kepada teknik menjejak yang seterusnya digunakan sehingga sekarang dan ditambah-baik dari masa ke semasa,” katanya.
Katanya, sejak ditubuhkan Unit Gajah Jabatan Perhilitan juga menyumbangkan kepakaran kepada negara luar iaitu Pulau Tekong, Singapura pada 1990, Sri Lanka pada 1991, Pulau Ubin, Singapura pada 1992 dan juga pemindahan teknologi tangkapan kepada Indonesia, Thailand dan Myanmar yang menjalankan latihan kepakaran di Malaysia.
Nasharudin berkata, bagi meningkatkan mutu penjagaan dan husbandri gajah, kerajaan meluluskan peruntukan RM 11.2 juta bagi tempoh RMK10 ini untuk membina kemudahan bagi meningkatkan keselesaan gajah dan persekitaran pekerjaan di pusat ini.


Destinasi pelancongan  
Sementara itu, PKGK yang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di Malaysia dan dibuka kepada umum sejak tahun 2000 mencatatkan jumlah pelancong yang meningkat setiap tahun. 
Nasharudin berkata, bagi tempoh  Januari-Disember 2014 sebanyak 164, 298 pelawat telah direkodkan melawat pusat ini.
Nasharudin berkata, di antara aktiviti menarik di pusat ini ialah pengunjung berpeluang berinteraksi dengan gajah secara terkawal seperti memberi makan dan pemerhatian pergerakan gajah.  
“Aktiviti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran pengunjung betapa perlunya sokongan dan penglibatan bersama dalam melaksanakan program konservasi terhadap hidupan liar terutamanya gajah.
“Aktiviti menunggang gajah telah dihentikan di pusat ini sejak Oktober 2012 sebagai usaha konservasi pihak kerajaan bagi tujuan mengawal dan mengurangkan risiko kemalangan kakitangan dan pelawat, ini juga dapat meningkatkan kualiti penjagaan husbandri dan kebajikan gajah. 
“Sebagai langkah penambahbaikan hanya aktiviti yang menunjukkan kelakuan semula jadi gajah sahaja dipamerkan di pusat ini. 
“Apabila projek pembangunan yang sedang dibina siap kelak, pelawat boleh melihat bagaimana kumpulan gajah berinteraksi sesama kumpulannya di kawasan lepas bebas di hutan tropika seluas 10 hektar,” katanya.

Naik taraf infrastruktur
Nasharudin berkata, bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, Jabatan Perhilitan menerima peruntukan RM4.084 juta melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dibawah projek Malaysian Mega Biodiversity Hub (MMBH) bagi menaik taraf infrastruktur. 
Menurutnya, projek ini yang dalam fasa penyiapan dan ada yang telah siap sepenuhnya merangkumi kerja menaik taraf kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU), membina laluan pelawat, membina pusat maklumat, restoran, landskap dan pengindahan persekitaran.
Katanya, selain itu, kerja membina tandas dan bilik persalinan, membina kolam mandi gajah, laluan pejalan kaki berbumbung, laluan 'boardwalk', dan membina pelantar di tepi sungai.
Nasharudin berkata, kewujudan PKGK telah mewujudnya peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan (penduduk kampung dan Orang Asli) melalui perjawatan Pekerja Sambilan Harian (PSH), pengawal keselamatan dan kerja-kerja pembangunan yang dilaksanakan di pusat ini.   
“Seramai 20 penduduk setempat terdiri dari lapan Orang Asli Suku Che Wong dan 12 penduduk kampung telah diserap sebagai mahut gajah (pelatih) di pusat ini melalui pengambilan khas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: