Monday, September 28, 2015

Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan



Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan
Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan Ronzuli bersama anaknya dalam dewan Parlimen.
ROME - ITALI. Seorang Ahli Parlimen Marche, Itali, Licia Ronzuli membawa kelainan ke Parlimen iaitu membawa anaknya hampir ke setiap persidangan.

Pada tahun 2010, ahli parlimen itu mengejutkan ramai pihak apabila tampil di Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dengan membawa bayinya, Vittoria Cerioli yang berusia sebulan ketika itu.

Sejak itu, kelibat beliau dan anaknya sering menjadi perhatian dan jurugambar juga merakam gambar mereka berdua, selain itu mereka juga sering memakai pakaian sedondon.

Penampilannya yang pertama di parlimen menyaksikan beliau memakai pengendong bayi.

Ronzuli ketika ditemubual AFP berkata, sebelum ini pelbagai perkara yang dibahaskan dan diperjuangkannya di Parlimen kurang mendapat perhatian media, namun sejak kemunculan beliau dan anaknya di Parlimen beliau menjadi tumpuan media.

"Sejak saya membawa bayi ke Parlimen secara tiba-tiba semua lensa tertumpu kepada kami," katanya.

Telatah Vittoria yang sering men‎gikut gerak-geri ibunya itu mencuri tumpuan ramai.

Siri gambar yang dirakam kebanyakannya menunjukkan mereka berdua mengangkat tangan tanda sokongan terhadap perkara yang diusulkan.

Lantas aksi mereka berdua sering menjadi tumpuan media tatkala sidang Parlimen berlangsung.

Ronzuli memulakan kerjayanya sebagai jururawat di Hospital Milan dan Bangladesh, kemudian menjadi pengarah hospital sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang politik.

Beliau yang bertanding menerusi parti The People Of Freedom, menang pilihan raya pada tahun 2008.

Ronzuli ketika bercakap kepada media Itali berkata, keputusannya membawa bayi ke Parlimen bukanlah gimik politik sebaliknya ingin menunjukkan kepentingan hubungan ibu dan anak.

"Saya ingin mengingatkan dan menegaskan yang tidak semua ibu berpeluang menjaga anak seperti saya lebih-lebih lagi ketika masih menyusu," katanya.

Dalam pada itu Parlimen menetapkan bahawa Ronzuli bebas membawa anaknya ke parlimen selagi tidak mengganggu ahli Parlimen bersidang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: