Anggota JPAM mengambil masa kira-kira sejam untuk memusnahkan sarang tebuan yang ditemui.
TANGGA BATU - Beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang sepatutnya memusnahkan sarang lebah di sebuah rumah kosong dekat Kampung Pantai Rombang di sini, berdepan detik lebih mencabar apabila menemui dua sarang tebuan bersaiz besar pada katil dan almari rumah berkenaan.
Ketua Operasi, Pusat Kawalan Operasi Daerah Melaka Tengah, Staff Muda (PA) Mohd Kamil Hassan berkata, beliau bersama tiga anggota lain pada mulanya ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan penduduk tentang kewujudan sarang lebah sejak beberapa bulan lalu yang mengancam keselamatan penduduk.
Bagaimanapun, katanya, sebaik pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui dua sarang tebuan tanah bersaiz besar pada katil dan almari terbiar di rumah berkenaan.
“Saya difahamkan, rumah ini kosong dan mereka mula menyedari tentang kewujudan lebah sebaik melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan rumah berhampiran.
“Sebaik masuk ke dalam rumah, tiba-tiba terdengar bunyi deruman. Pada mulanya saya ingatkan ia dari sekumpulan lebah tetapi rupa-rupanya sarang tebuan tanah bersaiz hampir separuh katil dan bersambung dengan sebuah almari bersebelahan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, anggotanya terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk memusnahkan kedua-dua sarang tebuan berkenaan.
“Operasi memusnahkan sarang tebuan yang berada pada almari dan katil bermula pada jam 10.30 malam dan berakhir sejam kemudian. Kami bersyukur kerana operasi ini berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan pada anggota bertugas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: