Wednesday, September 23, 2015

Anugerah Planet Muzik kembali


Anugerah Planet Muzik kembali

SELEPAS 14 tahun penganjurannya, Anugerah Planet Muzik 2015 (APM 2015) terus membuktikan industri muzik masih bernyawa seiring dengan perkembangan muzik semasa.
Lebih membanggakan lagi, kali ini, pencalonan APM 2015 terdiri daripada kepelbagaian genre muzik selain menampilkan bakat-bakat baharu yang berkelayakan.
Ketua Penyiaran Melayu Media Corp, Zakiah Halim memberitahu APM 2015 menerima lebih 500 penyertaan daripada tiga negara pada tahun ini.
Katanya, kesemua penyertaan mempunyai kualiti tersendiri dan memberi cabaran kepada juri untuk membuat keputusan senarai lima terbaik.
"Penyertaan sememangnya cukup sengit tetapi angka itu sahaja sudah cukup membuatkan kita gembira untuk meneruskan APM buat kali ke-14 ini.
"Kita anggap ia sebagai 'magic number'.
"Perkembangan itu sangat positif jika hendak dibandingkan pada awal penganjuran APM yang memperlihatkan naik turun jumlah pencalonannya," katanya kepada media semasa sidang media APM 2015, baru-baru ini.
Pada masa sama, katanya, APM2015 juga bersikap terbuka terhadap calon-calon yang bertanding walaupun matlamat utama anugerah itu adalah untuk mengiktiraf karyawan seni dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.
"Saya teruja melihat APM mengembangkan sayapnya melepasi rantau ini.
"Melihat peningkatan bilangan penonton dan penjenamaan yang semakin mantap kita berharap dapat mengetengahkan ramai lagi bakat muzik yang hebat di APM 2015," katanya
Dalam pada itu, kata Zakiah, seiring dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan republik Singapura yang ke-50, APM 2015 turut memperkenalkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Rentas Planet.
Anugerah yang boleh dikategorikan sebagai salah satu anugerah khas dalam APM 2015 itu bakal diberikan kepada seorang artis yang telah berjaya membawa muzik mereka menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada artis lain.

Taufik, Siti dominasi APM2015

Kali ini, pencalonan APM 2015 didominasi oleh penyanyi kelahiran Singapura, Taufik Batisah dan Datuk Siti Nurhaliza.
Taufik Batisah menerusi lagu Menakluk Cinta dan #Awakkatmane menerima tujuh pencalonan iaitu Artis Terbaik (Lelaki), Lagu Terbaik (Singapura), Ikon Media Sosial, Artis Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular APM dan Artis Paling Popular APM.
Siti Nurhaliza pula terus unggul apabila menerima enam pencalonan bagi lima kategori iaitu Lagu Paling Popular yang dicalonkan menerusi dua lagu iaitu Jaga Dia Untukku dan Seluruh Cinta duet dengan penyanyi Indonesia, Cakra Khan. Kategori lain ialah Artis Wanita Terbaik, Kolaborasi Terbaik Artis (bersama Cakra Khan), Kolaborasi Terbaik Lagu (lagu Engkau) dan Duo Terbaik (juga bersama Cakra Khan).
Dalam pada itu, seramai tujuh artis iaitu Akim & The Majistret, Aisyah Aziz, Bunga Citra Lestari, Hazama, Cakra Khan, Iman’s League dan Sleeq pula menerima empat pencalonan dalam kategori masing-masing.
Selain itu, peminat juga boleh mengundi lagu dan artis popular masing-masing dalam lima kategori iaitu Artis Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular (Singapura), Artis Paling Popular APM, Lagu Paling Popular APM, dan Ikon Media Sosial.
Undian bagi kategori popular sudah dibuka pada Selasa sehingga 1 Oktober ini. Ia boleh dilayari menerusi www.facebook.com/anugerah.planet
APM 2015 akan berlangsung di Suntec Singapura pada 9 Oktober depan dan bakal bersiaran secara langsung di saluran Suria (Singapura), Astro Ria (Malaysia & Brunei) dan Net (Indonesia).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: