Tuesday, September 29, 2015

Kereta mewah jadi teksi



Kereta mewah jadi teksi
Kenderaan persendirian jenis Mazda CX5 2.0L disita Spad dalam Ops Revus Tegas Isnin lalu.
KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan mewah milik persendirian disita Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) setelah dikenal pasti beroperasi secara haram menerusi sistem dalam talian ketika Ops Revus Tegas dilakukan.

Sumber Spad berkata, kenderaan berkenaan dikesan menggunakan aplikasi UBER bagi menerima tempahan.

“Kenderaan jenis Mazda CX5 2.0L ini terlebih dahulu diekori bagi pengesahan aktiviti dan seterusnya dua anggota penguat kuasa membuat tempahan kenderaan melalui aplikasi berkenaan dan menyamar sebagai penumpang.

“Setelah itu anggota Spad memperkenalkan diri dan membuat tahanan mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) atas kesalahan suatu kenderaan persendirian yang memberikan perkhidmatan Kenderaan Awam Tanpa Lesen Pengendali melibatkan penggunaan aplikasi,” katanya.

Sumber berkenaan turut memberitahu, sehingga kini Ops Revus Tegas - menyamar dan buru telah menahan dan menyita sebanyak 104 buah kenderaan.

Tambahnya, Spad mempelbagaikan kaedah menangkap dan mengambil tindakan ke atas kesalahan mengendalikan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali dari Spad.

“Operasi-operasi sebegini dilaksanakan pada tiap-tiap hari. Walaupun pada skala kecil tetapi berterusan bagi memberi amaran kepada pesalah ini bahawa mereka sentiasa dalam radar Spad.

“Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: