Dai Azam
FIGURA ini bukan artis popular dalam industri seni tempatan. Namun, kehadirannya di persada seni tetap mendapat perhatian masyarakat.
Bahkan kehadirannya sedikit sebanyak mewarnai pentas seni di negara ini.
Lebih dikenali menerusi program Islamik dan kerohanian, empunya nama Mohamad Azamudin Zainal ini amat sinonim dengan program realiti D'ai : Pendakwah Milenia di bawah terbitan TV3.
Merupakan naib juara musim pertama program itu, guru agama salah sebuah sekolah di Johor ini juga terkenal menerusi program televisyen Salam Ustaz yang disiarkan di TV9.
Menarik mengenai dirinya, anak jati Johor yang mesra disapa Azam atau lebih dikenali sebagai Azam Al-Kankari ini antara pendakwah bebas yang sentiasa memperjuangkan Islam.
Malah penampilannya menerusi Zass kali ini agak istimewa sempena Aidiladha yang akan diraikan seluruh umat Islam di dunia pada hari esok.
Membuka bicara, Azam memberitahu, Aidiladha memberi seribu satu makna bukan sahaja kepadanya, tetapi kepada semua insan yang meraikannya.
"Aidiladha atau hari raya korban mempunyai definisi yang cukup besar. Bagi saya sendiri, korban atau pengorbanan itu satu perkara yang kita lakukan tanpa mengharapkan balasan. Yang mana, setiap pengorbanan hendaklah bersifat ikhlas dan tulus yang melambangkan pengorbanan sebenar," katanya.
Ujarnya, jika dilihat sebelum ini, para sahabat dan rasul, sanggup berkorban masa, jiwa, keluarga, tenaga mahupun nyawa demi memperjuangkan agama ALLAH SWT semata-mata kerana mahu menyebarkan kalimah agung, lailahaillallah.
"Mengambil contoh, Saad Abi Waqas sanggup meninggalkan keluarga dan tanah air untuk menyebarkan Islam di China. Bahkan banyak lagi peristiwa dikaitkan pengorbanan seperti Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya dan Nabi Ismail yang dikorbankan kerana perintah ALLAH SWT.
"Malah kita sendiri juga boleh memainkan peranan sama dengan berkorban tenaga, masa, harta dan sebagainya untuk mengembangkan ajaran Islam di muka bumi ini," katanya pengorbanan mengajar erti kesusahan dan daripada kesusahan datangnya kesenangan.
Bercakap lanjut, jelasnya, pengertian Aidiladha itu sendiri, bukan sekadar melakukan korban seperti menyembelih binatang ternakan semata-mata.
"ALLAH SWT tidak melihat haiwan yang disembelih atau darah yang menitis, tetapi keikhlasan dan pengorbanan yang kita sanggup kongsi bersama orang lain.
"Mungkin di masa-masa lain, ada yang tidak mampu untuk menjadikan daging sebagai juadah harian mereka, tetapi tibanya Aidiladha, ia adalah peluang untuk mereka turut menikmatinya," jelasnya tidak salah mengorbankan sedikit harta bagi yang mampu.
Selain itu, bagi mereka yang menunaikan haji di Makkah, pengorbanan terbesar mereka adalah dengan mengorbankan darjat mahu pun status apabila berada di tanah suci itu.
"Bila ke sana, semunya sama sahaja. Berpakaian serba putih tanpa ada warna yang lain. Di sinilah kita dapat melihat umat Islam duduk bersama-sama tanpa mengira pangkat," katanya Aidiladha merupakan raya terbesar dalam Islam.
Korban umrah
Mengambil Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna sebagai idolanya, kata Azam, dia mahu menjadi seperti pengasas Islam terbesar di dunia itu dalam memperjuang Islam di dunia.
"Beliau sanggup mengorbankan harta dan dunia untuk meluaskan Islam ketika itu walaupun pada akhir hayatnya beliau dibunuh kerana mempertahankan agama ALLAH SWT," ujarnya seorang pendakwah unggul bukan hanya di mata manusia sebaliknya
mereka yang berjaya mendapatkan reda ALLAH SWT.
Bercerita mengenai pengorbanan terbesar yang pernah dilakukannya pula, kata jejaka berusia 24 tahun ini, adalah apabila dia terpaksa melepaskan hadiah kemenangannya sebagai naib juara D'ai yang melayakkannya memenangi menjalankan umrah secara percuma.
"Ketika itu saya terikat dengan tuntutan kerja sebagai penceramah dan penggambaran program televisyen yang menyebabkan saya perlu menangguhkan diri untuk ke sana.
"Bagaimana pun, bukan rezeki saya, kerana apabila tiba waktunya saya terpaksa melepaskan hadiah kemenangan itu kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat yang lebih memerlukan saya.
"Apa pun, saya sudah reda dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu perjuangan untuk saya sampaikan sesuatu lebih baik kepada mereka di sini," katanya berpegang kepada prinsip kita semua adalah pendakwah, bukan penghukum.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya pula, Azam kini sibuk menjalani penggambaran bagi sebuah program Islamik untuk TV9.
"Selain sibuk sebagai guru agama, saya juga masih bergelar penceramah di surau, institusi pengajian tinggi dan di mana sahaja yang memerlukan saya.
"Jadi kepada sesiapa yang ingin menjemput saya, jangan malu atau segan dan bolehlah menghubungi saya menerusi laman sosial saya di Facebook atau Instagram," katanya bakal mendirikan rumah tangga Oktober ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: