Wednesday, September 23, 2015

Hargai tinggalan sejarah negara



Hargai tinggalan sejarah negara
Pelajar SMK Kandis bergambar ketika melawat kubu tinggalan askar British.
BACHOK - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis dibawa menjelajah sekitar daerah ini untuk melihat sendiri tinggalan sejarah penjajahan British berpuluh tahun lalu.

Pengetuanya, Mat Saei Mohd Noor berkata, pelajar hari ini perlu didedahkan dengan tinggalan sejarah untuk memastikan mereka tahu bagaimana jerih perihnya pejuang terdahulu membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan.

Menurutnya, Bachok mempunyai banyak tinggalan sejarah yang boleh dijelajahi terutama kubu British yang terdapat di sepanjang pesisir daerah ini.

“Melalui kayuhan merdeka, kami bawa 60 pelajar berbasikal ke pantai bagi menghayati erti kemerdekaan dengan  mengambil iktibar daripada tinggalan kubu yang dibina British di Pantai Sri Aur ketika mempertahankan Tanah Melayu daripada kemasukan Jepun pada 1941.

“Bagaimana binaan kukuh itu akhirnya menumbangkan juga askar Punjab dan Gurkha yang bekerja di bawah British, dan Jepun mengambil alih penjajahan selama beberapa tahun,” katanya.

Mat Saei berkata, kayuhan merdeka itu adalah aktiviti julung kali diadakan sempena bulan kemerdekaan peringkat sekolah.

Program kayuhan itu diketuai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Che Alek Che Ismail bersama beberapa guru pengiring.

Ia adalah sebahagian usaha pihak sekolah mendedahkan masyarakat terhadap aktiviti dilaksanakan pihak sekolah dan sebahagian daripada proses pembelajaran yang  perlu diperluas serta dipelbagaikan untuk merangsang daya fikir dan mewujudkan empati dalam kalangan pelajar tentang persekitaran.

“Selain itu, kami juga bawa pelajar mendekatkan diri dengan institusi Masjid Kampung Aur melalui aktiviti pembersihan dan mengecat masjid tersebut.

“Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan hubungan rapat antara sekolah dan komuniti setempat iaitu sebahagian daripada sarana ibu bapa dan sarana sekolah, selari juga dengan usaha kerajaan untuk melestarikan pendidikan. Ia adalah sebahagian usaha memberikan pendidikan berdasarkan pengalaman,” katanya.

Menurutnya, program bulan kemerdekaan bermula 15 Ogos hingga 19 September, dengan beberapa program telah diatur antaranya Kibaran Jalur Gemilang, kelas inovatif bertema kemerdekaan, menulis esei, sajak, program ‘i think kemerdekaan’, buku skrap dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: