Wan Azahari menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera JKM kepada Zubaila di Kampung Sat, Tanah Merah, semalam.
TANAH MERAH - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan ini agar tidak berlaku kes borang permohonan tidak sampai.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Tanah Merah, Wan Azahari Wan Muhammad berkata, sebaliknya pemohon hanya perlu datang sendiri ke Pejabat JKM jajahan ini di Kampung Kelewek, dekat sini, untuk sebarang urusan.
“Kalau boleh, sebaik-baiknya elak guna orang tengah kerana saya bimbang apa yang berlaku ke atas seorang ibu tunggal dari Kampung Sat, dekat sini, berulang.
“Saya diberitahu, dia serahkan borang permohonan kepada orang lain untuk disampaikan kepada kami (JKM) tetapi hasil semakan, dia tidak pernah buat permohonan dengan JKM,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian selepas melawat ibu tunggal terbabit, Zubaila Mohd Nawi, 33, di Kampung Sat, dekat sini, susulan laporan akhbar mengenai kesusahan wanita itu yang disiarkan Sinar Harian, semalam.
Zubaila dan tiga anak berusia setahun, 11, dan 13 tahun dilaporkan hidup susah kerana tidak mempunyai punca pendapatan selepas Zubaila ditinggalkan suaminya yang juga warga Myanmar lebih setahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan keluarga berkenaan terpaksa mengharapkan sumbangan orang ramai untuk sara hidup seharian, manakala perbelanjaan makan dan minum dua anak Zubaila di sekolah pula ditanggung seorang guru yang prihatin.
Nasib malang Zubaila turut dapat perhatian pelbagai pihak termasuk Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang membantu membayar sewa rumahnya dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam, Tenaga Nasional Berhad daerah ini.
Dalam laporan akhbar itu, Zubaila mendakwa pernah memohon bantuan daripada JKM, terutama untuk bantuan persekolahan dua anaknya, kira-kira dua bulan lalu.
Menurut Wan Azahari, susulan lawatannya ke rumah Zubaila, beliau menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera JKM berjumlah RM300 bagi membantu meringankan beban kewangan ibu tunggal terbabit.
“Keluarga ini juga akan dipertimbangkan untuk bantuan persekolahan di bawah kategori Bantuan Kanak-Kanak (BKK) JKM sebanyak RM300 sebulan mulai November depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: