Norazlin menunjukkan laporan polis dan nombor pendaftaran keretanya yang disalah guna sehingga menyebabkan dua saman dikenakan ke atasnya.
BANDAR KUALA KANGSAR - Seorang guru terkejut apabila menerima surat saman ke atas keretanya dari Kuala Lumpur sedangkan dia berada di Kuala Kangsar sejak beberapa bulan lalu.
Norazlin Adam, 38, berkata, dia hairan apabila surat saman ke atas keretanya sampai di rumah walhal sudah agak lama dia dan keluarga tidak ke Kuala Lumpur.
Semasa mula menerima surat tersebut, dia merasakan mungkin suaminya ada tersalah parkir namun mula berasa hairan apabila kenderaan yang di saman adalah motosikal.
Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, dia segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar bagi melaporkan perkara tersebut.
“Saman yang diterima adalah kesalahan meletak kenderaan di tempat salah bagi kereta saya yang bernombor pendaftaran AGS 1162. Pada tarikh tersebut, saya pasti saya berada di Kuala Kangsar.
“Selepas diperiksa, didapati ada dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran kereta saya dan itu punca saman tersebut sampai ke rumah.
“Laporan telah dibuat dan kini hanya menunggu siasatan lanjut daripada pihak berkuasa. Dari segi saman pula, ia telah dibatalkan, lega rasanya,” katanya.
Dalam pada itu, suaminya, Abdul Momin Khushairy, 40, berkata, laporan polis dibuat bagi memastikan tiada masalah timbul pada masa akan datang.
Menurutnya, dia khuatir sekiranya individu yang menggunakan nombor plat kereta isterinya itu melakukan jenayah lantas perkara tersebut akan terpalit kepada dirinya dan keluarga.
“Sebelum ini pun sudah ada banyak kes nombor pendaftaran kenderaan disalah guna oleh orang lain. Jadi, saya enggan perkara tersebut terjadi kepada saya.
“Mujur perkara ini dapat dikesan awal, sekurang-kurangnya jumlah saman tidak banyak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Abdul Momin berkata, dia berharap perkara itu dapat diselesaikan segera kerana dia enggan surat saman sampai ke rumahnya selepas ini.
“Rasanya, cukuplah dua saman dikeluarkan atas nombor pendaftaran kereta isteri saya. Diharapkan pihak berkuasa dapat menyelesaikan kes ini dengan segera.
“Kepada individu yang gunakan nombor pendaftaran AGS 1162, saya minta mereka ganti nombor tersebut kerana ia menyusahkan saya dan keluarga,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: