Wednesday, September 30, 2015

Tertipu lebih RM10 juta



Tertipu lebih RM10 juta
Lebih 40 pelabur mengadakan bantahan aman di hadapan premis syarikat pelaburan berasaskan ikan arowana di Kampung Tebuk Panchur, Bukit Merah.
GUNUNG SEMANGGOL - Harap pegar, pegar makan padi.

Demikian nasib menimpa lebih 40 pelabur sebuah skim pelaburan ikan arowana yang ditawarkan sebuah syarikat pengusaha ikan itu di Bukit Merah, di sini apabila kempunan menerima sebarang laba pelaburan sebagaimana dijanjikan sejak empat tahun lalu.

Lebih menyedihkan, kesemua pelabur berkenaan kini bingung memikirkan status pelaburan mereka setelah pemilik syarikat didakwa gagal memberi maklum balas selain enggan bersemuka dengan mereka sejak setahun lalu.

Berikutan itu, kesemua pelabur berkenaan mengadakan pertemuan khas di premis kolam ikan arowana milik syarikat itu di Kampung Tebuk Panchur, di sini sebelum membuat laporan polis ke atas pemilik syarikat atas dakwaan menipu wang pelaburan mereka berjumlah lebih RM10 juta.


Tangguh beli rumah

Wakil pelabur, Zuraya Mohd Noor, 41, berkata, pada akhir 2011, dia tertarik untuk menyertai skim pelaburan ikan arowana ditawarkan syarikat itu melalui iklan pelaburan disiarkan akhbar tempatan.

Setelah berbincang dengan keluarga, Zuraya yang berasal dari Kuala Lumpur bersetuju untuk menangguhkan hasrat pembelian sebuah rumah dan menggunakan wang simpanan itu bagi menyertai skim pelaburan berkenaan.
“Saya menggunakan wang simpanan bernilai RM40,000 untuk menyertai pelaburan itu dan dijanjikan minimum pulangan keuntungan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Berdasarkan penerangan pemilik syarikat, nilai wang pelaburan saya itu bersamaan dengan dua ekor ikan induk Malaysian Golden Arowana Highback yang didakwa berharga hampir RM20,000 setiap satu.

“Jadi, dua ekor ikan arowana induk itu akan ditempatkan di dalam sebuah kolam ikan khas yang bakal dipantau rapi oleh pekerja syarikat berkenaan, selain ikan terbabit turut dipasang cip pengesan kononnya bagi mengelakkan terkeliru dengan ikan milik pelabur lain,” katanya pada sidang media di premis kolam ikan arowana syarikat berkenaan di Kampung Tebuk Panchur, di sini.

Zuraya berkata, setiap kolam ikan arowana diselia syarikat berkenaan difahamkan akan ditempatkan 10 ekor ikan arowana induk milik pelabur dan sentiasa dipantau sehingga ikan induk berkenaan bertelur dan melahirkan anak ikan.

Menurutnya, pemilik syarikat pelaburan itu memberi jaminan sekurang-kurangnya seekor anak ikan induk berukuran empat inci dilaburkannya akan dapat dijual setiap bulan dengan harga sekurang-kurangnya RM1,500.

“Namun, selepas setahun berlalu, kami masih tidak menerima sebarang pulangan sebagaimana dijanjikan dan setiap kali kami hadir ke kolam syarikat, penyelia kolam sekadar memberi alasan ikan induk saya gagal bertelur.

“Lebih kurang dua tahun kemudian, saya dan suami pula tidak dibenarkan hadir melawat ikan arowana yang dilabur atas pelbagai alasan tidak munasabah.

“Lebih kesal, sejak setahun lalu, kami gagal menghubungi pemilik syarikat bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.


Kempunan duit pulangan

Seorang pelabur, Muhammad Zainon, 53, dari Sungai Petani, Kedah mendakwa dia kempunan menerima pulangan pelaburan bernilai paling kurang RM500,000 setelah dijanjikan tawaran pelaburan sedemikian oleh pemilik syarikat.

Menurutnya, dia melaburkan RM120,000 bagi menyertai skim pelaburan syarikat dan dijanjikan pulangan semula wang modal dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Saya juga diberi jaminan setiap ikan arowana yang diselia syarikat berkenaan akan dipantau keselamatannya secara rapi termasuk penyediaan kamera CCTV di setiap kolam.

“Pemilik syarikat itu turut menjanjikan pulangan pendapatan sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan kepada saya berdasarkan jumlah modal dilaburkan.

“Selepas lima tahun berlalu, sehingga kini saya langsung tidak menerima walau satu sen pun wang pulangan pelaburan sebagaimana dijanjikan,” katanya.


Pemilik syarikat berdolak-dalik

Muhammad berkata, setelah setahun tidak menerima pulangan keuntungan, dia sering berkunjung ke ibu pejabat syarikat itu yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur bagi menanyakan status pelaburannya.

Bagaimanapun, Muhammad mendakwa pemilik syarikat berkenaan sering berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah selain sering menolak permintaannya untuk bersemuka.

“Lebih mengejutkan, ibu pejabat syarikat itu ditutup secara mengejut pada tahun lalu tanpa memberikan sebarang notis pemberitahuan kepada pelabur-pelabur.

“Saya pernah bertanyakan alasan syarikat berkenaan masih gagal membayar pulangan pelaburan kepada setiap pelaburan dan jawapan balas diberikan pihak syarikat adalah ikan arowana di kolam syarikat sering dicuri atau harga pasaran ikan arowana merudum,” katanya.

Muhammad berkata, berang dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat itu, pihaknya berjaya mengumpulkan sejumlah 40 pelabur syarikat yang turut menerima nasib sama melalui aplikasi media sosial.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dibuat, kesemua pelabur dianggarkan mengalami kerugian bernilai RM20,000 hingga RM500,000 dan hampir kesemuanya kini terpaksa menanggung hutang pembiayaan pinjaman peribadi dengan bank.

“Susulan itu, kami mendesak pemilik syarikat berkenaan untuk tampil mengemukakan laporan audit syarikat dan memulangkan semula wang pelaburan kami berserta keuntungan dijanjikan dalam tempoh masa segera.

“Jika pemilik syarikat berkenaan gagal berbuat demikian, kesemua pelabur tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya memandangkan kami mempunyai bukti perjanjian bertulis terhadap setiap pelaburan dibuat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: