Ronda Rousey
RONDA Rousey bukanlah wanita biasa, tetapi dia adalah atlet tempur super-hebat!
Dia juga dianggap atlet wanita paling dominan dalam pertarungan seni bela diri Mixed Martial Arts (MMA) di Ultimate Fighting Championship (UFC).
Dilahirkan pada 1 Februari 1987 di Riverside, California, Rousey adalah anak kepada pasangan AnnMaria De Mars dan Ron Rousey.
Ibunya merupakan seorang bekas juara judo, bapanya pula membunuh diri ketika dia berusia lapan tahun.
Mula bertarung
Rousey mula mempelajari judo daripada ibunya ketika dia berusia 11 tahun.
Ketika itu dia tidak menyedari bahawa ibunya adalah seorang bekas juara judo dan hanya mengetahuinya selepas terjumpa keratan akhbar lama yang disimpan di loteng rumah.
Pada 2004, Rousey dipilih mewakili Amerika Syarikat (AS) dan bertanding di Sukan Olimpik Athens. Dia muncul atlet termuda (17 tahun) bertanding pada temasya berkenaan.
Pada tahun sama, dia memenangi emas dalam kejohanan judo remaja dunia di Budapest, Hungary.
Rousey juga muncul atlet judo pertama AS dalam tempoh 10 tahun memenangi kejohanan bertaraf A apabila menjuarai Judo Piala Dunia di Birmingham, Britain.
Dia juga menyertai Olimpik Beijing 2008 namun tewas di suku akhir kepada bekas juara dunia dari Belanda, Edith Bosch. Di Beijing, dia membawa pulang pingat gangsa.
Karier MMA
Rousey membuat kemunculan sulungnya di MMA sebagai petarung amatur pada 6 Ogos 2010.
Dia hanya memerlukan 23 saat untuk menewaskan lawannya, Hayden Munoz.
Selepas berjaya mencipta nama di pertandingan amatur, Rousey disunting Strikeforce.
Di Strikeforce, dia menundukkan pencabarnya, Sarah D'Alelio pada pusingan pertama menerusi gerakan arm-bar.
Kebanyakan kemenangan dicatat Rousey semasa bertarung di Strikeforce adalah menerusi gerakan arm-bar yang memaksa pencabarnya mengaku kalah seawal pusingan pertama.
Pada November 2012, Presiden UFC, Dana White mengumumkan Rousey muncul atlet tempur wanita pertama menandatangani kontrak bersama mereka.
Dominan di UFC
Dan sehingga ke hari ini, dia telah memenangi 11 daripada 12 pertarungannya di UFC seawal pusingan pertama.
Malah, empat pertarungannya berlangsung selama 34 saat.
Dia juga mencipta rekod kemenangan paling singkat dalam sejarah UFC iaitu selama 14 saat ketika menewaskan Cat Zingano pada Mac 2015.
Dan pada 1 Ogos lalu, Rousey berjaya mempertahankan gelarannya apabila 'memalukan' petarung Brazil, Betje Correia di UFC 190.
Rousey hanya memerlukan 34 saat menewaskan Correia menerusi knockout.
Sejurus mempertahankan gelarannya, legenda tinju dunia, Mike Tyson menghamburkan pujian menggunung kepada Rousey.
"Dia memiliki auru pembunuh," kata Tyson.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: