Friday, September 25, 2015

Kereta Eira Syazira & Azad Jazmin Remuk, Terbabas Di Terowong Menora




Eira dan Azad bersyukur terselamat dalam kemalangan.
PETALING JAYA: Pelakon Eira Syazira memberitahu kereta dipandu oleh adik suaminya pelakon Azad Jazmin mengalami kerosakan dan remuk selepas terbabit dalam kemalangan berdekatan Terowong Menora, Lebuhraya Plus, petang Ahad lalu.

Eira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi, 31, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur atas urusan kerja.
"Alhamdulillah kereta tersebut dipandu oleh adik ipar dan kami tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya kereta sahaja yang remuk di bahagian depan selepas terbabas di pembahagi jalan selepas Terowong Menora. 
"Kami sekeluarga dalam perjalanan ke Pulau Pinang atas urusan kerja ketika itu hujan lebat dan jalan licin, malah menurut orang ramai kejadian kemalangan sering berlaku di kawasan tersebut," ujarnya kepada mStar Online.
Keadaan kereta Toyota milik Eira Syazira yang terbabit dalam kemalangan pada Ahad.
Eira ditemui ketika menemani suaminya pada majlis tayangan perdana filem Girlfriend Kontrak, di Cineleisure, di sini, malam Selasa.
Dalam pada itu, Eira bersyukur apabila kesemua mereka termasuk anaknya Amarra Sofea Rose, 2, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mereka sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar, Perak selepas kejadian tersebut.
"Selepas kemalangan kami terus buat laporan polis dan Azad buat keputusan untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.
"Ketika itu memang saya rasa bagai mimpi sebab saya tidak pernah terbabit dalam kemalangan sebelum ini. Alhamdulillah semunya selamat," ujarnya.
Tambah Eira, selain kereta jenis Toyota miliknya, terdapat beberapa kemalangan yang melibatkan kereta lain di kawasan tersebut yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: