Azam sentiasa bekerja bersama pekerjanya dalam mengeratkan hubungan.
TIDAK ramai peniaga Melayu yang menceburi bidang perniagaan pakaian hari ini terutamanya menjadi pemborong dalam segmen tersebut dan kemudian bertukar kepada peruncit dengan membuka butik sendiri.
Berbeza bagi Mixmoda Sdn Bhd (Mixmoda), yang memulakan perniagaan pada 2004 di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan Tar), Kuala Lumpur, dengan menjadi pembekal pakaian kepada peniaga di sekitar Masjid India dan Kuala Lumpur.
Pengasas Mixmoda, Azam Osman berkata pengalaman berniaga di sekitar Jalan Tar dan Masjid India banyak membantunya untuk berjaya hingga peringkat sekarang.
“Saya bermula dari kosong dalam bidang pakaian kerana saya merupakan pelajar jurusan kewangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Tetapi saya diberi peluang oleh keluarga serta sifu yang merupakan sepupu untuk menceburi bidang perniagaan bermodalkan pinjaman darinya,” katanya.
Menurutnya, dia antara peniaga Melayu paling muda yang menjadi pemborong pakaian di Masjid India ketika itu dan terpaksa bersaing dengan peniaga Pakistan, Bangladesh, India dan Indonesia.
“Sistem perniagaan di Masjid India tidak sama seperti sistem yang saya pelajari dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan kepada peniaga seperti saya.
“Apa yang baiknya berniaga di situ akan menjadikan kita lebih kreatif, bersabar, jujur, pandai menguruskan stok serta rantaian bekalan yang diperoleh,” katanya.
Tambahnya, keburukannya pula adalah kuasa duit lebih penting dari kepandaian kerana peniaga di sana bukanlah orang Melayu dan mereka boleh mengawal sesuatu produk dengan wang dan mematikan perniagaan peniaga lain.
Buka butik Azammoff di Shah Alam
Selepas lebih enam tahun menjadi pemborong, Azam kemudian mengambil keputusan menukarkan Mixmoda daripada menjadi pemborong kepada peruncit dengan membuka butik di Shah Alam dikenali sebagai Azammoff.
“Selepas enam tahun berkecimpung sebagai pemborong, saya tahu rezeki saya bukan di situ kerana banyak penghutang tidak membayar hutang mereka, malah ada juga memberi cek tendang kepada saya.
“Jadi pada Disember 2010 saya membuka butik pakaian di Seksyen 7, Shah Alam dengan bantuan dua orang bekas pelajar jurusan rekaan fesyen UiTM di mana saya belajar bagaimana ukur baju, potong baju dan macam-macam lagi,” katanya.
Azam kemudian cuba mengenal pasti permasalahan dalam industri fesyen bagi membolehkannya menembusi pasaran tersebut.
“Kemudian saya menyedari dalam industri fesyen negara kita tidak banyak jenama, pereka dan usahawan fesyen tempatan yang mampu menjual dan menyediakan produk yang bermutu, berkualiti dan pada masa sama menawarkannya pada harga yang berpatutan.
“Jadi saya sedar di kawasan Shah Alam, kebanyakan penduduknya adalah Melayu yang berpelajaran dan isu harga adalah nombor dua asalkan tidak terlalu mahal,” katanya.
Penduduk Shah Alam lebih sensitif daripada segi jenis bahan digunakan untuk pakaian mereka dan juga berapa banyak koleksi yang dikeluarkan.
“Alhamdulillah, selepas lima tahun membuka butik pelanggan saya bertambah. Daripada tiada nama kini makin dikenali hanya kerana saya mengutamakan kualiti produk dan juga perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.
Utamakan perkhidmatan dan kualiti
Mementingkan perkhidmatan yang baik serta produk berkualiti menjadikan Mixmoda terus berada dalam dunia perniagaan lebih dari 10 tahun.
Menurut Azam, bila berada dalam industri perkhidmatan kita perlu banyak berkorban untuk keselesaan pelanggan.
“Saya bukan mencari keuntungan semata-mata tetapi ingin memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dan pada masa sama menjadi mentor kepada pekerja dengan berkongsi ilmu.
“Tiada gunanya dikenali sebagai ahli perniagaan berduit tetapi tidak mempunyai etika dalam bekerja dan kerana itu impian saya bukan untuk menjadi kaya, kerana ia akan datang selepas saya melakukan yang terbaik,” katanya.
Butik Azammoff miliknya itu beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 10 pagi hingga 9 malam dan dibantu lima pereka fesyen serta tujuh pembantu am.
“Saya mempunyai pelbagai jenis rekaan yang lebih kepada konsep Melayu beragama Islam dan sukakan kesederhanaan dengan keutamaan diberi kepada ketelitian jahitan dan kemasan.
“Butik saya dibuka khusus untuk golongan korporat dan eksekutif dengan menyediakan baju siap dan juga menerima tempahan untuk individu, perkahwinan, korporat, kanak-kanak, Muslim dan Muslimah,” katanya.
Buat masa ini, Mixmoda tidak mempunyai perancangan untuk membuka butik baharu dan hanya memberi tumpuan kepada butik di Shah Alam dan galeri di Bangunan Busana Mara, Kuala Lumpur.
Perlu jujur dalam berniaga
Sama seperti peniaga lain yang berjaya, Azam juga tidak lokek memberi nasihat kepada mereka yang baru memulakan perniagaan terutamanya golongan muda.
“Nasihat saya kepada peniaga-peniaga yang baru menceburkan diri dalam bidang ini, jika berniaga perkara pertama sekali yang perlu ada pada diri anda adalah jujur dan bukan menunjukkan kepandaian kita.
“Pandai itu jadi perkara kedua selepas jujur. Memang diakui semua orang ada hak untuk hidup senang tetapi kita perlu pastikan jalan yang kita guna betul,” katanya.
Tiada guna menipu pelanggan terutamanya daripada segi jenis kain yang dipakai kerana jika sekali mereka rasa tertipu anda akan kehilangan pelanggan masa akan datang.
“Kita boleh jadi kaya cepat dalam perniagaan tetapi kita juga harus ingat dalam perniagaan orang tidak akan lihat kekayaan anda tetapi mereka menilai berapa lama usahawan itu berniaga dan kekal dalam industri.
“Jadi adalah lebih baik kita menjadi usahawan yang dihormati dan dicontohi untuk memastikan syarikat terus bertahan dan berkembang dalam industri,” katanya.
Azam menegaskan tidak kira perniagaan secara atas talian (online) atau membuka kedai, kejujuran, kesabaran dan ketekunan perlu ada kerana dalam perniagaan langit bukan selalu cerah dan jatuh bangun itu adalah lumrah.
“Saya sendiri pernah jatuh tetapi, Alhamdulillah berkat kesabaran saya mendaki semula dan dari situ saya tahu apa kesalahan yang dilakukan dalam berniaga lalu membaikinya masa ke semasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: