Yatt Hamzah
KITA hanya mampu merancang, tapi ALLAH menentukan segalanya. Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai perjalanan hidup wanita bernama Haryati Hamzah ini.
Tidak mahu terus meratapi mahupun bersedih atas perpisahan yang berlaku sebulan lalu, Yatt berkata, pada awalnya, dia tidak menafikan kehidupan tanpa lelaki bernama Abdul Mutalib Abdul Shukor agak canggung, namun lama kelamaan, dia semakin biasa dengan kehidupan baharunya.
“Memang perpisahan ini amat menyedihkan tapi hidup mesti diteruskan. Apatah lagi, Talib kini tidak lagi terlibat dengan pengurusan Suci by Yatt Hamzah. Jadi sekarang saya uruskan semua berbanding sebelum ini saya hanya uruskan bahagian pemasaran.
“Saya tak nafikan kehidupan saya kini sangat sibuk tapi ia juga menjadi terapi untuk saya bangkit, selain kekuatan yang ALLAH SWT berikan kepada saya,” katanya kepada Zass.
Tambah Yatt, dia percaya, ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang dan dek kerana itu, dia tidak mahu merendah diri dan malu dengan status yang dipegangnya kini.
“Ada di antara masyarakat kita yang memandang rendah pada pasangan yang bercerai, lebih-lebih lagi apabila wanita itu memegang gelaran janda atau ibu tunggal.
“Malah, saya juga tak mahu jadi seperti sesetengah wanita yang meratapi dan bersedih dengan penceraian mereka. Tapi saya tak nafikan ada menangis, tapi air mata itu adalah jadi semangat dan kekuatan buat saya,” katanya.
Berkongsi perihal anak mereka, Suci Hanania Malika, 5, jelas Yatt, mereka tidak punya sebarang masalah menjaganya.
“Tidak wujud isu berebut anak dan lain-lain. Giliran menjaga anak sudah kami bincangkan. Malah, kami juga berjanji akan lakukan yang terbaik untuknya,” katanya.
Wanita berusia 35 tahun ini menambah, anaknya itu seakan memahami perpisahan ini dan ada ketikanya turut memaklumkan kepada rakannya dan Yatt.
“Cuma ada sekali dia lukis gambar kami sekeluarga dan mengatakan itu gambar keluarga ketika Hari Raya Aidiladha yang lalu, itu sudah cukup membuatkan saya sebak,” katanya.
Lancar koleksi baharu
Dalam pada itu, Yatt berkata, dia baru sahaja melancarkan koleksi terbaharu Suci by Yatt Hamzah pada minggu lalu dan sambutan setakat ini amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah Suci by Yatt Hamzah sudah ada pengikutnya dan apabila kita keluarkan koleksi terbaharu, ia sentiasa mendapat permintaan.
“Untuk koleksi kali ini, saya dapat ilham dari Indonesia, Timur Tengah dan Barat. Di mana ada di antara koleksi, pada asalnya adalah rekaan yang agak seksi, namun saya ubah dan jadikan ia jubah Muslimah,” katanya.
Menurut Yatt, buat masa ini dia mahu fokus untuk melebarkan lagi perniagaan Suci by Yatt Hamzah dan dalam masa sama turut merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni.
“Saya bukan jenis yang buat kerja tergopoh-gapah. Memang saya ada perancangan nak terbitkan program sendiri. Tapi segalanya masih dalam peringkat perbincangan.
“Kalau boleh saya mahu terbitkan sebuah program tidak kisah drama, telefilem dan program bual bicara, tapi yang ada inti pati dakwah. Yang mana apabila orang menonton, ia sedikit sebanyak dapat menyentuh perasaan mereka.
“Jadi, kalau pun saya tak dapat terlibat dalam program itu, saya akan beri kepada orang lain. Kita tunggu dan lihatlah macam mana nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: