Norshazilawati memasak sendiri untuk memastikan makanan berkualiti dan kebersihan terjamin.
ASPEK penting bagi ibu dalam pantang adalah menjaga pemakanan. Makanan berkhasiat bukan sahaja mengembalikan tenaga yang banyak hilang, malah memastikan luka-luka selepas bersalin tidak memudaratkan.
Selain itu, ibu juga akan memastikan mereka mendapat makanan baik untuk membantu pertumbuhan bayi yang disusui. Kebiasaannya, makanan dalam hari adalah makanan panas.
Hari ini, mendapatkan makanan untuk ibu dalam pantang atau dalam hari menjadi lebih mudah dengan adanya khidmat penghantaran makanan sudah siap dimasak dibekukan daripada peniaga tempatan.
Antara peniaga yang berjinak-jinak dengan penghantaran makanan dalam pantang sejuk beku adalah Pengasas Foozyla Delivery (Foodzyla), Norshazilawati Mohd Rodzi.
Norshazilawati berkata, Foodzyla mengambil inisiatif memperkenalkan makanan dalam pantang sejuk beku kerana sering ditanya pelanggan mengenai sama ada menyediakan penghantaran makanan dalam pantang.
“Saya sering berdepan dengan pertanyaan tersebut, malah ketika menghantar makanan ke rumah pelanggan, kebanyakan anak kecil yang datang mengambil makanan dan membuat pembayaran kerana ibu mereka menguruskan anak kecil lain. Apabila ditanya mana orang dewasa, mereka akan memaklumkan ibu dalam pantang dan sedang menjaga adik.
"Kebanyakan penduduk di kawasan Lembah Klang adalah golongan ibu muda yang tidak biasa menyediakan makanan dalam pantang. Saya yakin dengan memperkenalkan makanan dalam pantang, ia akan membantu ramai ibu di luar sana,” katanya kepada Sinar Harian.
Norshazilawati berkata, makanan sejuk beku dalam pantang diperkenalkan di sekitar kawasan Lembah Klang, Putrajaya dan Kajang dan akan diperluaskan kepada Rakan Niaga (Rania) dan ejen Foodzyla.
“Setakat ini, sambutan yang diterima memberangsangkan. Kami menerima tempahan selama 30 hari sahaja. Kami menyediakan lebih 10 jenis menu dalam pantang iaitu daging batang pinang bakar lada hitam, sup ikan haruan, ayam kampung kukus
halia dan kari ikan merah,” katanya.
Tambahnya, menu berpantang yang dijual juga ialah ikan bawal kukus kurma, ayam kampung panggang, cencaru bakar air asam jawa, ayam bakar madu, ikan haruan kukus lada hitam, isi ayam masak bijan dan ikan haruan bakar halia. Setiap tempahan akan diberikan sayur, buah dan ikan bilis lada hitam.
“Kami sediakan makanan berpantang untuk tengah hari dan malam. Harga yang dikenakan sehari RM20,” katanya.
Sebelum ini, Foodzyla mengeluarkan makanan Melayu dan Barat sejuk beku. Ia menjual makanan panas sejak 2013.
“Saya mahu menginovasi makanan untuk memberikan ia tahan lama dan sesuai di makan pada bila-bila masa sahaja.
“Alhamdulillah, setakat ini, makanan Foodzyla menjadi pilihan mereka yang ke luar negara dan jemaah haji,” katanya.
Norshazilawati menjangkakan menu diet sejuk beku kepada pesakit khasnya golongan berusia dan makanan bayi berusia enam bulan awal 2016.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: