Tuesday, September 29, 2015

Yayasan Afdlin Shauki Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik




Afdlin bakal menubuhkan yayasan bagi membantu golongan dalam kesusahan dan memerlukan.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki bakal menubuhkan sebuah yayasan dalam usahanya membantu golongan kurang bernasib baik selain menyalurkan bantuan kepada pelarian Syria dan Palestin.

Afdlin, 45, berkata, tujuan utama penubuhan yayasan diberi nama Yayasan Afdlin Shauki itu dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat selain ibadah kepada Allah.

"Sebelum ini saya dan beberapa rakan ada terlibat dalam beberapa aktiviti amal dan kebetulan sahabat baik saya mencadangkan idea untuk membuka yayasan tersebut.

"Alhamdulillah setakat ini proses menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki berjalan lancar dan ini adalah satu ibadah dalam memberi manfaat kepada masyarakat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Tambah Afdlin, dia juga berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan selebriti terutamanya pelawak yang memerlukan pertolongan akibat sakit dan sebagainya.

Afdlin bersama sahabatnya ketika terlibat dalam misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan tahun lalu.
"Menjadi hasrat saya juga untuk membantu rakan-rakan dalam industri terutamanya pelawak sekiranya mereka mengalami kesusahan namun yayasan ini tidak tertumpu kepada selebriti sahaja tetapi kepada mereka yang memerlukan," jelasnya.

Dalam pada itu, Afdlin bersyukur apabila niatnya untuk menubuhkan yayasan berkenaan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan terutama dari segi pengumpulan dana.

Malah kata Afdlin, beberapa projek kerjasama bersama yayasan lain dilaksanakan sebelum ini turut mendapat perhatian dan ia bukti masyarakat di negara ini prihatin untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

"Alhamdulillah... Allah permudahkan usaha kami semua dan masih ramai sebenarnya yang mengambil berat untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

"Saya juga terbuka sekiranya ada rakan artis, pengamal media atau pun orang awam ingin turut serta dalam projek amal kami," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: