Tuesday, September 29, 2015

Empat Penyokong Harimau Malaya Didakwa Merusuh




Empat penyokong Ultras Malaya dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Isnin atas tuduhan sengaja mencetuskan kekecohan ketika perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu. 
SHAH ALAM: Empat penyokong pasukan Harimau Malaya termasuk seorang penuntut didakwa di Mahkamah Majistret di sini Isnin atas tuduhan merusuh semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam 8 September lepas.   
Norazman Noraziz, 24, Mohd Shahrul Azlan Mohd, 32, Hazim Kamarulzaman, 35, dan Shamsul Nirwan Halid, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin.
Mengikut pertuduhan itu, keempat-empat lelaki berkenaan didakwa merusuh dengan membakar suar, bom asap, dan mercun roket lalu membalingnya ke arah stadium selain melakukan kekerasan dan keganasan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas di kawasan Kuadron C, Stadium Shah Alam, pada 10.50 malam.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 
Norazman dan Mohd Shahrul Azlan diwakili peguam Anwar Raof, Hazim oleh Arik Zakri Abdul Kadir dan Shamsul Nirwan oleh Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.
Timbalan Pendakwa Raya, N. Parimalaah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, ketiga-tiga peguam berkenaan memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan anak guam mereka mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.
Norshakinah kemudian menetapkan jaminan RM3,800 setiap tertuduh dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.
Pada 15 September lepas, dua penyokong 'Ultras Malaya' termasuk pemimpin kumpulan tersebut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan merusuh.
Mereka ialah Mohd Ridzuan Ahmad, 36, atau dikenali sebagai 'Lekir', dan Nudzul Haqimi Zulkepli, 31.
Perlawanan pusingan kelayakan bola sepak itu terpaksa dihentikan oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong yang berbaki dua minit perlawanan disebabkan insiden tersebut.
Ketika itu Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: