Tuesday, September 29, 2015

Bimbang berlaku banjir besar



Bimbang berlaku banjir besar
Keadaan kawasan perlombongan bauksit di RTP Bukit Goh yang dirakamkan oleh Drone Pahang mengundang kegusaran penduduk setempat.
KUANTAN – Penerokaan tanah untuk perlombongan tanpa terkawal berkemungkinan boleh mengundang fenomena banjir berlumpur apabila bila musim tengkujuh hujung tahun ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata feno-mena itu diramalkan terjadi apabila terdapatnya banyak kemusnahan ke atas alam sekitar di kawasan perlombongan bauksit di RTP Bukit Goh dilihat semakin ketara.

“Bila saya melihat gambar yang terdapat dalam Facebook Drone Pahang, saya terkejut kerana banyak kawasan yang telah diterokai bagi mendapatkan bahan mineral itu tanpa sebarang kawalan.

“Jadi apabila keadaan sedemikian berlaku, saya khuatir bila tibanya musim hujan tidak mustahil banjir berselut (lumpur) akan terjadi di kawasan sekitarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kebimbangan itu disuarakan apabila melihat sudah tiada kehijauan atau pokok-pokok di kawasan RTP Bukit Goh yang begitu ketara itu seperti tiada sebarang pengawalan daripada pihak kerajaan negeri.

“Timbul pelbagai pertanyaan, mengapa kerajaan negeri tidak mengambil langkah yang sewajarnya bagi membendung masalah berkenaan.

“Saya percaya penerokaan sehingga ke tahap itu berkemungkinan besar daripada penerokaan tanah yang mempunyai lesen dan tidak mustahil juga oleh pelombong yang tidak memiliki lesen.

“Bila ia tidak terkawal beginilah terjadi pada alam sekitar. Malah ketiadaan pokok boleh mengundang pelbagai musibah sebenarnya kerana tanpa pasak bumi (pokok-pokok) bencana senang berlaku,” katanya.

Fuziah berkata setakat ini kerajaan negeri seolah-olah tidak ada kemampuan untuk menyelesaikan masalah berkenaan sehingga menyebabkan penerokaan tanah bagi tujuan perlombongan juga dilakukan di luar kawalan.

“Rakyat amat kecewa dengan kerajaan negeri yang buntu dan tidak berupaya menyelesaikan masalah ini sedangkan kerajaan ada kuasa untuk memberhentikan eksport.

“Saya yakin sekiranya eksport dihentikan ia dapat mengurangkan penerokaan tanah yang boleh mengundang bukan sahaja pencemaran alam sekitar tetapi juga bencana alam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: