Johan, Haniff dan Ray
SELEPAS Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil meninggalkan segmen Riuh Pagi Era, pendengar setia stesen radio EraFM dihidangkan pula dengan slot baharu iaitu JoHaRa Pagi Era.
JoHaRa ialah singkatan yang merujuk kepada nama tiga penyampai bagi segmen tersebut iaitu Johan, Haniff dan Ray. Sejak beroperasi pada 2012, ternyata gandingan ketiga-tiga
penyampai ini berjaya membawa kelainan tersendiri sekali gus mampu menarik minat pendengar untuk memilih stesen terbabit.
Tidak hanya berceloteh di konti radio, trio ini juga pernah turun padang melakukan aktiviti riadah dengan peminat setia mereka menerusi acara Senamrobik Merdeka JoHaRa bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara, tahun lalu.
Bukan saja menghiburkan pendengar, pada masa sama, Johan, Haniff dan Ray turut meluangkan masa meraikan Nur Baitina Mohd Hassan iaitu pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2013. Nur Baitina adalah anak kelima daripada enam beradik berjaya membuktikan kesusahan hidupnya bukanlah penghalang bagi mencapai impian dan mengejar kejayaan dalam hidup.
Dengan pelbagai pendekatan yang dibawa, maka tidak hairanlah, JoHaRa Pagi Era masih memegang takhta sebagai Program Sarapan Terbaik kerana berjaya meraih 2.7 juta pendengar dalam masa seminggu.
Mengukuhkan lagi kedudukan, slot ini juga pernah dinobatkan dengan beberapa anugerah seperti Anugerah Program Radio MeleTOP di Anugerah Era, Segmen Radio Paling Digemari di Shout Award! dan Segmen Radio Paling Popular di Anugerah Lawak Warna.
Korban aktiviti lakonan - Johan
Terikat sebagai penyampai radio menyebabkan Johan perlu melakukan sedikit pengorbanan terhadap karier seninya yang lain. Mengakui jadualnya semakin padat, Johan atau nama sebenarnya Yazid Lim Mohamad mengakui terpaksa memperlahankan kemunculannya di kaca televisyen.
“Saya puas menjadi penyampai radio. Walaupun ia tiada kena mengena dengan saya, tapi saya mencuba sesuatu bidang yang baharu," katanya.
Pengorbanan yang dilakukan oleh bekas peserta Raja Lawak itu ternyata berbaloi lantaran dinobatkan sebagai Penyampai Radio MeleTop menerusi Anugerah MeleTop Era 2015.
Lebih bermakna, Johan juga mendapat sokongan penuh daripada isterinya yang juga pelakon Ozlynn Watie.
“Isteri saya bertindak sebagai pemerhati diri saya dalam industri ini. Apa sahaja kelemahan diri saya, dia pasti menegur. Sebab itu, saya ambil semua teguran itu dan cuba memperbaiki,” katanya.
Ketika ditanya, apakah perasaan menjadi penyumbang utama kepada kegemilangan JoHaRa Pagi Era, Johan segera tertawa dan menjawab: “Setiap Kejayaan yang diperoleh itu adalah kejayaan kami semua. Bukan saya seorang. Bahkan, sepanjang kami bersiaran, selisih faham antara kami juga kerap berlaku.
“Tetapi itulah yang terus merapatkan hubungan kami sebagai penyampai. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang bagus kerana ia akan menambahkan lagi idea baharu untuk kami.
“Malah, setiap kali perselisihan faham itu berlaku, ia seolah-olah saling ingat mengingati antara satu sama lain,” jelasnya.
Bijak kawal situasi - Haniff
Haniff yang bergandingan dengan Johan dan Ray dalam segmen JoHaRa Pagi Era turut mempunyai kekuatan tersendiri dalam segmen pagi itu. Katanya, segmen itu memberikan satu pengalaman baharu dan kelainan buatnya.
Sebagai kapten segmen, pemilik nama sebenar Haniff Hamzah mengakui perlu mengawal dan memastikan semua yang dirancang berjalan dengan lancar bersama Ray dan Johan.
"Sebelum ke udara, perbincangan antara penyampai pagi akan diadakan supaya semuanya akan berjalan seperti yang dirancang.
"Insya-ALLAH, saya yakin segmen itu akan terus menceriakan pagi pendengar," katanya.
Katanya, karakter berbeza yang dibawa oleh mereka juga telah memberi kelainan sekali gus berupaya menceriakan segmen pagi itu.
"Tanyalah pada mana-mana penyampai pun, semuanya akan mengatakan segmen pagi adalah segmen yang agak berat.
"Oleh sebab itu, penyampai yang mengendalikannya perlu melebihkan sedikit usaha," katanya.
Lebih bertuah, sebelum itu. Haniff sempat menimba pengalaman dengan Pak Nil juga menerusi segmen pagi di EraFM.
"Bekerja dengan Pak Nil sememangnya memberi saya banyak pengajaran dan pengalaman yang berharga. Malah, daripada situlah saya belajar sedikit sebanyak pengetahuan tentang bidang penyampai," katanya.
Kemuncak kerjaya - Ray
Bagi Shahreza Mohd Shah atau Ray, pengalaman bertugas sebagai Skuad Era bermula 2005 banyak memberinya pendedahan untuk mendekati pendengar.
"Dua tahun saya bertugas sebagai Skuad Era serba sedikit mengajar saya untuk berinteraksi bersama pendengar dan dari situlah saya mula meminati bidang penyampaian radio.
"Pada 2008, saya pernah digandingkan bersama Haniff sebagai penyampai X FreshFM dan kemudian pada tahun berikutnya kami menyertai EraFM," katanya.
Kata Ray, keserasian gandingannya bersama Haniff membuatkan mereka senang untuk bekerjasama dan selesa sepanjang bertugas di konti mahupun di luar konti.
"Pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah semasa mengendalikan segmen pagi bersama Haniff dan Pak Nil. Pak Nil banyak memberi tunjuk ajar kepada kami dan saya amat berbangga dapat bekerjasama dengannya," katanya.
Beranggapan JoHaRa Pagi Era adalah kemuncak kerjayanya. Ray bagaimanapun sangat bersyukur dengan pencapaiannya itu.
"Selepas diberi kepercayaan untuk mengendalikan segmen pagi ini, saya rasa ada perubahan besar berlaku dalam hidup saya. Apabila sudah mendapat peluang sebegini, saya akan menggunakan sebaik-baiknya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: