KEMPEN #TravellingBeruang nyata memberi impak besar dalam hidup pelakon yang terkenal, Ungku Ismail Aziz.

Daripada sekadar mengkaji wataknya untuk sebuah telefilem, Ungku Ismail akhirnya tergerak untuk menjalankan kempen kesedaran terhadap penyakit kanser daripada Instagram.

Bak kata orang sambil menyelam minum air apabila dalam memenuhi keperluan penggambaran bagi telefilem tersebut, Ungku Ismail turut menjelajah keenam buah negara bagi menyebarkan makna kempen #TravellingBeruang.

"Setiap negara ada maksudnya tersendiri. Saya tak boleh nak simpulkan semua sekali. Saya dapat lihat adat dan budaya mereka, cara mereka hidup, rupa paras mereka. Setiap negara memberi saya satu pandangan yang lain terhadap dunia.

"Walaupun kita hanya pergi negara jiran sahaja tapi itu sudah cukup untuk kita kenal lebih. Sambil-sambil saya buat kerja, itu yang saya dapat. Perkara ini sangat penting," katanya kepada Sinar Online.

Ungku Ismail bersama kru penggambaran telah menjelajah ke Australia, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Jepun dan China.

Menurutnya, pengembaraan berharga itu mengajarnya untuk lebih berdiam dan tenang.

"Pengalaman ini beri saya lebih sifat berdiam diri. Sebab bila saya pergi mana-mana, saya nampak banyak benda yang menakjubkan seolah-olah ia tidak akan habis.

"Orang selalu cakap macam pandai tapi dia tak tengok lagi negara orang di luar sana. Pada saya, orang yang benar-benar bijak ialah orang yang tak cakap apa-apa pun.

"Orang tak bijak itu yang bila baru dapat tahu suatu perkara sahaja, terus cerita dengan orang lain," katanya.

Malah katanya, perjalanan dia bersama kru-kru telefilem dan kru kempen tersebut bukan sekadar berjalan sebaliknya setiap langkah mereka itu membawa makna.

"Perjalanan ini mengajar saya untuk kurangkan bercakap, menilai lebih...belajar lebih. Hikmah dan nikmat setiap tempat itu lain-lain. Saya cuba belajar lebih dengan setiap perjalanan saya.

"Perjalanan saya itu bukan sekadar berjalan...pengalaman yang saya dapat daripada negara-negara orang, cerita mereka, kejayaan mereka, apa buat negara mereka maju dan apa yang buat negara mereka tidak maju. Itu semua saya ambil, saya kumpul.

"Saya kini seorang yang lebih 'relax' dan lebih hadam bahawa bijak itu apabila kita diam," katanya yang memulakan kempen itu sekadar cuba-cuba yang akhirnya mendapat sambutan luar biasa.