Lukisan 3D yang menghiasi dinding sekolah.
KUALA TERENGGANU – Dekorasi dalaman rumah kini bukan hanya menggunakan cat biasa mahupun kertas dinding malah trend kini lukisan tiga dimensi (3D) mula menjadi pilihan pemilik kediaman.
Lukisan suasana alam dan pelbagai corak menarik mula mengambil tempat di setiap ruang rumah sama ada pada dinding di ruang tamu dan bilik mahupun siling.
Pengusaha hiasan dalaman, Shahriman & Hadzlan Associates, Meor Shariman Mokhsin berkata, lukisan 3D kini makin laris kerana kosnya rendah, cepat dan unik selain memberi suasana baru yang lebih segar.
Beliau yang sebelum ini berpengalaman luas dalam industri hiasan berkonsepkan buluh dan kayu kini turut mengusahakan konsep lukisan 3D yang sebelumnya mendapat permintaan tinggi di sekitar Lembah Klang, Indonesia dan Singapura.
Menurutnya, pengubahsuaian yang di lakukan mampu membuatkan kediaman kelihatan baharu selain tahan lama dan dalam masa sama, boleh diubah suai semula kerana mudah ditanggalkan.
“Ia bukanlah 'wallpaper' (kertas dinding) atau 'tiles' (seramik), ia diperbuat daripada bahan asas seramik dan resin yang dihasilkan dari kesenian tangan.
"Bukan sahaja boleh dilukis di lantai tetapi ubah suai boleh dilakukan pada semua permukaan di ruangan dinding, syiling, tangga dan kaca," katanya pada Program Pengkomersialan Lukisan 3D Peringkat Pantai Timur di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pantai Timur mempunyai ramai pelukis tetapi kebanyakannya memfokuskan kepada produk batik pada kain atau baju sahaja.
Oleh itu, pihaknya juga turut bercadang untuk menubuhkan sebuah akademi untuk mereka yang berminat dengan penghasilan lukisan 3D ini.
“Kita sasarkan Januari tahun depan akan beroperasi akademi yang menyediakan latihan dan peluang pekerjaan. Buat permulaan, kita akan melatih 20 pelatih dari ketiga-tiga negeri kerana yakin dengan pasaran lukisan 3D ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: