Tuesday, September 22, 2015

Kutip sampah di puncak gunung



Geng Plastik Sampah
Peserta GP Sam ketika di atas puncak Gunung Datuk.
PERASAAN dapat menerobos hutan hijau untuk menikmati saujana mata memandang di atas puncak gunung tidak akan cukup untuk digambar dengan kata-kata.

Penyaksian itu lebih mengasyikkan ketika mendengar unggas dan kicauan beburung rimba yang berterbangan dan menghinggap dari satu dahan ke dahan lain.

Terasa masa yang diluangkan begitu cepat berlalu meskipun berada berjam-jam lamanya di sana selepas melihat langit terbentang tatkala kaki menjejak puncak.

Namun semua nikmat dikecap itu boleh jadi hanya seketika apabila anak mata tertancap sampah-sarap yang ditinggalkan berselerakan.

Bendasing itu pastinya dibuang dari tangan-tangan yang tidak pernah merasa berdosa kepada alam.

Tidak mahu alam nan indah terus dicemari, seorang lelaki yang juga guru mata pelajaran pendidikan khas di Nilai nekad untuk mengutip sampah ditemui dalam setiap perjalanan menuruni gunung didaki.

Mohd Nasyat Safwan Abdul Manan, 26, yang berasal dari Kelantan itu pada asalnya hanya menyukai aktiviti ‘outdoor’ termasuk mendaki gunung.

Dia yang masih belum berumah tangga kemudian menyedari habitat flora dan fauna diterokai perlu dipelihara dan dilindungi supaya manfaat dapat terus diwarisi generasi mendatang.

Atas inisiatif sendiri, lelaki ini yang lebih mesra dipanggil Ben memulakan projek mengutip sampai dan dikumpulkan di dalam plastik lalu dibawa turun bersama selesai menghirup udara bersih di puncak.

Menurut Ben, bertitik tolak dari itulah lahir idea menubuhkan kumpulan yang diberi nama Geng Plastik Sampah atau GP Sam pada Mac lalu.

“Seperti pendaki lain, tujuan utama adalah untuk menikmati pemandangan di puncak dan mendapat pengalaman dalam perjalanan ke puncak tapi akhir-akhir ini, tempat mendaki tumpuan telah dikotori oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sekali gus mencacatkan ekosistem dan pemandangan.

“Jadi, idea mula timbul apabila hendak turun ke bawah semula dan saya fikir apa salahnya membawa turun sampah yang ada di kawasan sekitar di samping sampah sendiri,” katanya.


Dapat sambutan dalam Facebook

Ben yang bertugas di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil itu berkata, projek itu mendapat sokongan dan disertai individu yang mahu mendaki gunung selepas diuar-uarkan menerusi media sosial Facebook.

“Secara umum aktiviti dijalankan sebulan sekali bertujuan membersihkan alam sekitar selain merapatkan hubungan antara pendaki dan pada kali pertama dianjurkan secara berkumpulan di Gunung Nuang, Selangor hampir 20 orang menyertainya.

“Kira-kira 40 pendaki menyertai aktiviti ini buat kali kedua di Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan dan kedua-dua penganjuran melibatkan peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk pelajar dan atlet,” katanya.

Menurutnya, lebih menarik apabila peserta tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya mengetahui hebahan umum di akaun Facebook peribadinya dan kumpulan Hiking & Camping Around Malaysia.

“Terdapat lebih kurang enam ke tujuh aktiviti dijalankan setakat ini, antaranya mendaki santai dan kutip sampah di Gunung Nuang,  Gunung Datuk dan Bukit Fraser selain membersihkan vandalisme di Gunung Datuk, berbuka puasa dan kutip sampah di sekitar Pantai Batu Putih, Port Dickson.
“Saya tidak membuka grup di mana-mana akaun sosial dan tindakan khusus lain kecuali akaun Facebook peribadi Ben GP Sam kerana bagi saya semua dijemput menyertai dan tidak terbatas kepada golongan tertentu,” katanya.

Ben berkata, projek tanpa tajaan mana-mana pihak ini tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menyertainya, malah mengalu-alukan penyertaan pada setiap aktiviti yang turut mengambil kira kesesuaian tahap kecergasan pendaki.

“Walaupun terdapat secebis pandangan negatif tetapi setelah diterangkan dan dijelaskan matlamat serta objektif, golongan terbabit mulai faham. Saya mengambil pendekatan ‘kita buat apa yang kita mampu, selebihnya Dia yang uruskan’.

“Alhamdulillah, penerimaan rakan baru dala setiap aktiviti semakin meningkat dan diharapkan usaha ini menjadi satu amalan kepada individu atau kumpulan yang cintakan alam sekitar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: