|
Ada dua perkara yang diingati tentang Nuha dan Adel. Pertama, Nuha satu-satunya kuntuman bunga yang berjaya kekal dalam peperangan sembilan minggu hingga pentas akhir Akademi Fantasia 2014 (AF2014). Selain boleh menyanyi, Nuha yang memiliki bakat mencipta lagu itu melakar nama sebagai peserta AF pertama yang menyanyikan lagu ciptaan sendiri di konsert kemuncak program tersebut.
Kedua, persembahan menghampakan Nuha yang berkali-kali terlupa lirik ketika menyanyikan lagu Beribu Sesalan pada pusingan akhir juga tidak akan dilupakan peminat, penonton, tenaga pengajar dan juri program itu. Nuha terpaksa akur menduduki tangga keempat ketika keputusan akhir diumumkan.
Adel pula satu-satunya pelajar yang diserap semula untuk berentap di pusingan akhir. Tersingkir pada minggu yang menyerlah kredibilitinya sebagai bintang harapan dan memiliki karakter yang tiada keyakinan diri, bertentangan dengan pesona fizikalnya selaku bekas ratu cantik di Keningau, Sabah antara tanda dagang Adel untuk dikenang peminatnya.
Itulah permainan yang sudah pun difahami umum mengenai program realiti. Bakat dan personaliti, itulah dijual menjadi bekal untuk mereka meneruskan survival sebagai anak seni.
Bercakap mengenai perubahan kehidupan selepas tamatnya program realiti itu, pemilik nama sebenar Syamila Nuhair Zainordi, 21, mengakui, dua dimensi baharu tentang Nuha selepas AF ialah penampilan dan keyakinan diri.
“Program AF2014 telah mengubah saya dari segi keyakinan dan penampilan diri. Perkara yang paling ketara, saya sudah berani menjadi diri sendiri. Kalau dahulu saya Nuha yang kurang berkeyakinan, tidak percaya kepada kemampuan diri, kasar dan suka menyanyi lagu berbahasa Inggeris sahaja, namun kini segalanya berubah sekelip mata.
“Saya sudah bersedia. Paling penting saya tidak boleh lupa diri kerana dengan sekelip mata sahaja, saya boleh ditelan anasir-anasir yang saya sendiri alpa dan tidak nampak. Malah, saya percaya AF2014 telah mempersiapkan saya untuk berdepan dengan dunia yang dahsyat. Cabaran itu terlalu berat bagi individu baharu seperti saya kerana apa yang saya tempuh sepanjang 10 minggu dalam AF2014 cuma beberapa peratus daripada dunia sebenar,” kata anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu.
Gila glamor
Sebelum memasuki AF2014, tempat Nuha hanya di pentas kenduri saudara-mara. Jika tidak, pertandingan nyanyian di restoran-restoran sekitar kampungnya di Manjong, Perak, menjadi pentas nyanyian buatnya.
Namun, iltizam, semangat dan kudrat yang dikumpul untuk menyertai AF2014 mencetuskan satu evolusi terpantas dalam kehidupannya.
Kata Nuha, dia memberanikan diri menyertai uji bakat AF2014 demi mengubah nasib keluarga dan mahu membiayai yuran pembelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam.
“Keluarga saya dihimpit pelbagai masalah, terutamanya berkaitan kewangan. Jadi, saya sedar kehidupan ini tidak mudah. Saya simpan angan-angan untuk menjadi penyanyi dan menyertai uji bakat AF2014 demi mencari duit membantu keluarga. Alhamdulillah rezeki saya di sini,” ceritanya.
Menyelak kembali halaman awal pembabitan dalam dunia muzik, jelas Nuha, dia pernah disisihkan teman-teman zaman persekolahan kerana pencapaian akademik yang cemerlang. Sikap itu menghiris perasaannya dan tanpa diduga, muzik menjadi teman terbaik ketika tiada sesiapa di sisi.
“Saya memang gila glamor sejak tingkatan satu dan sentiasa mahu menjadi pelajar popular di sekolah. Jadi, saya menyertai setiap pertandingan. Menyanyi, berpidato, syarahan, taranum, marhaban, nasyid dan koir. Semuanya saya sertai! Malangnya saya disisihkan kerana menjadi pelajar terbaik dalam akademik sehingga merasakan diri terlalu sunyi dan akhirnya berkongsi masalah menerusi muzik.
Sejarah berulang
Impian awal Nuha untuk menjadi peguam syariah bagaimanapun berkecai apabila dia dimasukkan ke hospital akibat demam panas ketika peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Fokusnya terjejas teruk.
“Memang keluarga saya tidak menyokong niat ini, namun saya gagahkan jua belajar bermain gitar dengan budak-budak kampung tanpa putus asa. Bermula tingkatan lima saya belajar mencipta lagu sendiri hingga kini,” katanya yang mempunyai koleksi lebih 67 buah lagu ciptaan sendiri buat masa sekarang.
Mengimbau kembali sejarah terburuk dalam persembahannya di pentas AF2014 hingga terlupa lirik berkali-kali, Nuha tidak menyangka peristiwa yang pernah terjadi ketika menyanyikan lagu Beribu Sesalan ketika tingkatan enam, tiga tahun lalu berulang kembali.
“Saya pernah terlupa lirik ketika menyanyikan lagu Beribu Sesalan suatu ketika dahulu. Perkara yang paling ditakuti itu berulang di pentas akhir AF2014. Ketika itu saya tergamam, namun reda dengan apa yang telah terjadi. Saya pasti itulah pengalaman paling teruk sepanjang 10 minggu dalam AF2014,” ujarnya tersenyum.
Adel berdikari
Berbeza kisahnya dengan seorang lagi peserta perempuan AF2014, Adel, si gadis tinggi lampai berkulit putih itu kelihatan sedikit canggung. Biarpun masih kekok dan malu-malu untuk berbicara, terkadang penyanyi yang berusia 21 tahun itu menghamburkan tawa manja. Mengatur bait-bait kata disulami dengan lantunan vokalnya yang sedikit serak, ada kematangan terzahir dari dalam jiwa wanita itu.
Menguntai butir bicara pada awal perbualan, Adel yang berasal dari Kampung Tambunan, Keningau, Sabah itu berkongsi cerita tentang minatnya yang mendalam terhadap bidang nyanyian. Seawal usia 18 tahun lagi, dia sudah bergelar penyanyi sambilan di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Usai menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah, Adel mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran. Dia sebaliknya memenuhi cinta-cita untuk bergelar penyanyi. Tujuannya pada ketika itu hanya satu, selain mengecap impian sendiri, dia tidak mahu menjadi tambahan bebanan buat keluarga.
Adel sebenarnya lahir dalam keluarga yang cukup serba serbi, namun itu tidak menjadikan anak kelima daripada enam beradik itu mudah terlena dengan kesenangan keluarga. Sebaliknya, sisi dirinya yang matang membuatkan pada usia semuda itu, Adel rela memilih untuk berdiri di atas kaki sendiri.
“Sejurus tamat zaman persekolahan, saya mula berhijrah ke Kota Kinabalu untuk mencari pekerjaan. Di sana, saya bekerja sebagai penyanyi sambilan di sebuah hotel. Memang bidang nyanyian menjadi minat saya sejak kecil sebab itu saya sanggup ambil risiko berjauhan dengan keluarga.
“Bermula pada saat itu, hinggalah sebelum saya berjaya terpilih masuk ke program AF2014, memang di situlah tempat saya mencari rezeki,” ujarnya tersenyum manis sambil membetulkan kedudukan kerusinya.
Berkongsi kisah jatuh bangkitnya dalam mengejar cita-cita, bicara Adel, dek sifat tidak pernah putus asa yang menggunung dalam dirinya, dia sudah memberanikan diri menyertai uji bakat AF ketika berusia 17 tahun. Walaupun percubaan pertamanya gagal kerana tidak cukup umur, itu tidak membuatkan kesungguhan Adel terhenti di tengah jalan.
“Pertama kali saya mencuba uji bakat AF pada tahun 2011. Ketika itu, saya berusia 17 tahun dan penyertaan saya gagal kerana tidak cukup umur. Walaupun saya tahu had umur untuk menyertai AF haruslah 18 tahun ke atas sahaja, namun saya tetap hadirkan diri ke uji bakat itu atas dasar untuk menimba pengalaman,” jelas Adel disulam ketawa kecil.
Anugerah
Diberi peluang tatkala namanya ditarik semula untuk menyertai finalis lain ke pentas final AF2014, Adel menggunakan sebaik mungkin anugerah yang terhampar luas di depan mata untuk membuktikan bakatnya.
Mengimbau detik pada malam itu, Adel memukau penonton dengan kehebatan vokalnya apabila mendendangkan lagu I Have Nothing daripada Whitney Houston dan sebuah lagu baru ciptaan Kunci Demak berjudul Hati.
Meskipun membawa satu persembahan yang memukau dan menerima banyak komen positif daripada penonton, semua itu tidak mampu memberi impak kepada pungutan undian yang diterima Adel. Itulah hakikat dan realiti yang harus dihadapi oleh peserta AF apabila undian talian menjadi penentu kedudukan mereka.
Bagi Adel, perkara yang lalu biarlah berlalu. Apa yang penting sekarang, dia mahu mengorak langkah kakinya lebih jauh dalam bidang yang didambakan selama ini, sementelah peluang sudah terbuka luas di depan mata.
“Secara jujur dan ikhlas dari hati, apa yang ada dalam jiwa saya ini cuma satu, iaitu lega. Lega kerana semuanya sudah selamat berjalan dengan lancar. Menang atau kalah itu adat dalam mana-mana pertandingan. Itu semua tidak penting lagi sekarang kerana bagi saya, berada pada tahap ini pun merupakan sesuatu yang sangat membanggakan.
“Saya anggap peluang diserap masuk ke pentas final sebagai satu anugerah yang tidak ternilai. Sekurang-kurangnya saya masih berpeluang membuktikan kepada semua bakat yang saya ada,” ujarnya ceria mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: