Monday, December 1, 2014

Didi Astillah bukan klon Stacy



DIDI ASTILLAH (tengah) semakin dikenali menerusi lagu Fikirkan Kamu.


KELINCAHAN penyanyi genit berusia 18 tahun itu menyanyi dan menari secara serentak mudah mengingatkan mata-mata yang memandang, terhadap penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia, Stacy.
Sekadar meletakkan sedikit persamaan, namun penyanyi yang sedang meningkat naik, Dayang Nazilah Awang Astillah atau lebih dikenali sebagai Didi Astillah itu menjelaskan, perkara itu mungkin cuma satu kebetulan.
Di fikirannya, dia tidak pernah terfikir untuk meniru mana-mana penyanyi lain, terutamanya pelantun lagu Pelangi Senja itu.
“Saya sudah lama menjadikan irama Pop Dance sebagai teras dalam karier nyanyian saya. Lagipun, saya memang suka menari dan saya juga mempunyai kumpulan menari yang mengetengahkan tarian kontemporari.
“Jadi, tiada istilah meniru mana-mana artis dan cuba menjadikan tarian sebagai daya penarik. Saya cuma menari mengikut kesesuaian lagu,” ujarnya ketika ditemui usai pelancaran album terbaharunya berjudul Fikirkan Kamu di Warner Music Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengakui bersyukur apabila kehadirannya sebagai penyanyi semakin diterima baik oleh peminat, Didi berharap kemunculan album pertamanya itu dapat mengukuhkan lagi namanya.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak berumur lapan tahun ketika memasuki program realiti Idola Kecil pada tahun 2008. Namun, saya tidak pernah serius dalam bidang nyanyian disebabkan komitmen saya terhadap pelajaran.
“Namun, apabila kini menjengah umur 18 tahun, saya rasa sudah bersedia untuk memberi sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian dan saya sangat berharap album pertama saya ini mampu menjadi titik-tolak kepada perkembangan karier muzik selepas ini,” ujar penyanyi kelahiran Sandakan, Sabah itu.

DIDI ASTILLAH pernah menggilap bakatnya dalam program Idola Kecil dan Kamilah Bintang.


Mengulas dengan lebih lanjut mengenai album yang diberi judul Fikirkan Kamu itu, Didi menjelaskan, dia memilih konsep Pop Dance kerana konsep tersebut bersesuaian dengan usianya yang masih remaja selain genre muzik itu masih belum banyak dipelopori artis lain.
“Saya juga sangat bertuah kerana album ini turut mendapat sentuhan daripada dua komposer dan penulis lirik terkenal iaitu LY dan Baiduri yang menghasilkan tiga buah lagu dalam album ini.
“Warner juga mendapatkan tiga lagu buah lagu ciptaan komposer Indonesia iaitu Posan yang pernah mencipta lagu Sayang nyanyian Shae,” katanya.
Mengenai albumnya itu, Didi memberitahu, proses rakaman dijalankan pada bulan Ramadan tahun lalu sebelum berehat untuk memberikan tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ditebak mengenai kekuatan gadis ini untuk terus kekal dalam industri muzik tanah air, Didi memberitahu, dia menggunakan kekuatan laman sosial untuk mempromosikan karier nyanyiannya.
“Sejak kembali aktif dalam dunia nyanyian meskipun belum banyak membuat kemunculan di khalayak ramai, saya sudah mempunyai pengikut tersendiri yang setia menyokong sejak bergelar finalis Idola Kecil (2008) dan Kamilah Bintang (2010).
“Dengan menggunakan nama @didiastillah, saya mempunyai 100,000 pengikut di Instagram. Saya berharap platform itu membantu aktiviti promosi agar lebih dikenali,” kata Didi yang tidak lagi berambut kerinting menggerbang seperti kemunculannya dalam Idola Kecil dahulu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: