Monday, April 7, 2014

Perlu wujud Wi-Fi percuma di lokasi tumpuan


  • Perlu wujud Wi-Fi percuma di lokasi tumpuan Seorang wanita melayari internet menggunakan jalur lebar yang disediakan oleh kerajaan negeri secara percuma selepas majlis perasmian projek perintis Terengganu Open Wifi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, hari ini. 
KUALA TERENGGANU - Semua kerajaan negeri perlu berusaha mewujudkan akses internet tanpa wayar di wilayah masing-masing untuk memudahkan orang ramai dan pelancong mengakses capaian internet Wi-Fi secara percuma di lokasi tumpuan.
  
Menyarankan demikian, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata kementeriannya sedia bekerjasama untuk tujuan itu bersama mana-mana kerajaan negeri.
  
Katanya sebagai contoh, kerajaan negeri Terengganu yang komited memberikan kemudahan 'Terengganu Open Wi-Fi' kepada orang ramai dan pelancong mengakses capaian internet dengan menyediakan kemudahan WiFi secara percuma di 600 lokasi strategik melibatkan peruntukan RM30 juta.
  
"Ia merupakan satu inisiatif yang bagus dari Terengganu kerana kadar penembusan jalur lebar kebangsaan perlu dipertingkatkan di mana ketika ini telah mencapai 67.1 peratus setelah pelbagai program dihasilkan di bawah Pelan Jalur Lebar Kebangsaan," katanya.
  
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Perintis Terengganu Open Wi-fi bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Program Pelan Jalur Lebar Kebangsaan itu termasuk program Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia, Pusat Internet 1Malaysia, Pusat Jalur Lebar Komuniti Kecil, Perpustakaan Jalur Lebar, peluasan liputan selular dan program Komputer 1Malaysia.
  
Dalam perkembangan lain, menurut Jailani sebanyak 39 menara telekomunikasi akan dipasang di seluruh Terengganu melibatkan kos RM58.5 juta dimana setakat ini kadar penembusan jalur lebar di Terengganu mencatat kadar 57.3 peratus.
  
Menurutnya pembinaan menara tambahan itu merupakan sebahagian daripada rancangan membina 1,000 menara telekomunikasi di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.
  
Sementara itu Ahmad berkata daerah Kuala Terengganu dipilih sebagai projek perintis 'Terengganu Open Wi-fi' sebelum ianya diperluaskan ke seluruh Terengganu.
  
Katanya kemudahan itu sedang dan akan dipasang di tempat-tempat tumpuan orang ramai terutama di semua kawasan Pejabat Daerah dan Tanah, kawasan Pantai Peranginan Batu Buruk, hospital, stesen bas, pasar, kawasan bandar dan perpustakaan selain termasuk pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
  
Ahmad berkata, setakat ini lima lokasi telah sedia dipasang kemudahan capaian akses Wi-Fi percuma termasuk di Pantai Peranginan Batu Buruk, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Perpustakaan Awam Kuala Terengganu dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: