Sunday, April 20, 2014

Nina tepis kisah silam kekasih



HEIKAL enggan memberi sebarang komen tentang hubungan akrabnya dengan pelakon Yana Samsudin.


TIADA angin, masakan pohon boleh bergoyang. Itulah perumpamaan yang boleh diberikan terhadap hubungan pelakon Nina Iskandar dan bakal suaminya, Ahmad Heikal yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan.
Portal perkongsian berita Cari.com pernah melaporkan Heikal dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon Hanis Zalikha dan Yana Samsudin.
Bukan sekadar gosip, beberapa keping gambar Heikal bersama Hanis dan Yana turut dimuat naik oleh ahli forum sebagai bukti ampuh.
Bagi mendapat kepastian, Nina, 23, yang ditemui pada majlis pelancaran kereta mewah Mini Cooper S di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini ditembak dengan perihal sikap buaya darat kekasihnya itu. Nina yang berasal dari Brunei itu ternyata tidak melatah dengan komen-komen pengguna forum.
Nina dalam nada defensif mempertahankan Heikal sampil mendakwa teman lelakinya itu telus dalam hal masa lampau. Katanya, mereka sama-sama berkongsi mengenai kisah peribadi masing-masing. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Nina.
Kosmo!: Adakah anda mengetahui Heikal pernah ada hubungan dengan Hanis Zalikha dan Yana Samsudin?
NINA: Ya, saya tahu tentang perkara tersebut. Saya dan Heikal mengamalkan sikap telus sesama sendiri. Saya tahu tentang masa silamnya dan dia juga tahu tentang gosip berkaitan dengan saya. Lagipun dia memang mempunyai ramai kawan dan ada antara mereka merupakan artis popular.

PELAKON Hanis Zalikha merupakan salah seorang selebriti wanita yang didakwa pengguna forum Cari.com pernah akrab dengan Heikal.


Apakah reaksi anda apabila ada individu cuba mengungkit kisah lama kekasih anda?
Semua orang ada masa silam masing-masing. Bagi saya, ia merupakan satu perkara yang tidak berfaedah jika kita terus mengenang kisah-kisah tersebut. Apa yang telah berlaku biar berlalu.
Jawapan itu memberi bayangan anda sebenarnya perempuan perampas.
Itu tidak benar sama sekali. Orang luar boleh berkata apa sahaja yang mereka suka. Apa yang penting sekarang ialah saya sentiasa positif dengan apa yang berlaku.
Apakah pengajaran yang anda dapat apabila berhadapan dengan perkara-perkara sebegini?
Sebagai seorang pelakon baharu, saya tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Jika saya dilanda kontroversi dalam masa lima tahun lagi, mungkin perkara ini dapat mematangkan saya dalam menghadapi sebarang dugaan.
Adakah benar Heikal melarang untuk berlakon sebaik anda berdua mendirikan rumah tangga kelak?
Sebenarnya ia satu salah faham. Perkara ini masih boleh dibawa berbincang. Saya masih mahu berlakon dan niat saya datang ke sini (Malaysia) adalah untuk mengasah bakat dan melebarkan karier saya dalam bidang lakonan. Lagipun, kontrak lima tahun saya bersama Metrowelth masih berjalan.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya bakal membintangi sebuah telemovie Raya Ni Mesti Kahwin bersama Shah Iskandar. Ia akan ditayangkan pada hari raya Aidilfitri tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: