Tuesday, April 1, 2014

Khidmat sukarela JPAM



PENYANYI seperti Nasharuddin Elias atau Nash (tiga dari kanan), Datuk Hattan (dua dari kanan) dan isteri, Datin Arianie Mohd. Abidin serta Datuk Malek Ridzuan (dua dari kiri) melihat kain rentang yang tertera #PRAY FOR MH370 ketika mengunjungi ahli keluarga penumpang pesawat MH370 di Hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini.


USIA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mencecah 62 tahun pada 24 Mac lalu, namun kehadiran pasukan ini tidak begitu disedari oleh masyarakat berikutan kurangnya publisiti mengenainya.
Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa pasukan, yang ditubuhkan sejak Perang Dunia Kedua ini, berfungsi sebagai satu badan berkecuali yang melaksanakan tugas-tugas menyelamat nyawa dan harta benda secara sistematik tatkala negara dilanda bencana.
Jabatan ini juga adalah satu daripada tiga jabatan yang diamanahkan menjaga keamanan negara, sebarisan dengan pasukan tentera dan polis.
Bagi mencapai hasrat itu, satu majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggotanya bersempena sambutan ulang tahun ke-62 JPAM telah diadakan di Pusat Pertahanan Awam Negara (Puspan) di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
"Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti pertunjukan, demonstrasi dan pameran tentang aktiviti pertahanan awam," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Timbalan Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Selamat Dahalan kepada Bernama.
Hari ini JPAM memainkan fungsinya sesuai dengan keadaan semasa. Waktu negara berada dalam keadaan aman, ia memainkan peranan mengambil apa-apa langkah bagi melindungi nyawa dan harta benda sebelum, sewaktu dan selepas berlakunya sesuatu bencana di dalam negara, jelas Selamat.
Jika negara berada dalam keadaan perang, tugas JPAM ialah mengambil langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata sebelum, semasa dan selepas serangan musuh.

JAAFAR ONN (tiga dari kanan) dan Zur Eda Mokhtar (tengah), antara artis tempatan yang menerima sijil pentauliahan sebagai Mejar Bersekutu sempena Majlis Sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-62 Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan baru-baru ini.


Sejarah
Sejarah aktiviti pertahanan awam di Malaysia telah melangkau tempoh 70 tahun, dibentuk oleh British dikenali sebagai Passive Defence pada tahun 1939, sebagai persiapan menghadapi Perang Dunia Kedua.
Selepas penubuhannya secara rasmi pada 24 Mac 1952, JPAM melalui pelbagai bentuk perkembangan dan menjadi komponen penting dalam pertahanan negara terutamanya pada waktu-waktu sukar.
Prestasi cemerlang pasukan Passive Defence telah membuatkan pihak pemerintah British menggubal The Civil Defence Ordinance pada tahun 1951 sebagai satu undang-undang dalam sistem keselamatan di Tanah Melayu ketika itu.
Berikutan peristiwa kemerdekaan negara, ordinan ini telah menjadi Akta Pertahanan Awam 1951. Peranan JPAM turut diiktiraf sebagai unsur tetap pertahanan negara seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Berikutan peristiwa konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia, JPAM melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Peristiwa ini juga telah menambahkan keanggotaan JPAM sehingga 36,000 anggota dengan 37 cawangan di seluruh negara.
Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara pada 1970 telah membawa kepada peristiwa kerahan tenaga besar-besaran. Pada 1972 skop tugas JPAM ditambah dengan memasukkan perkhidmatan bantuan bencana.
"Bantuan kepada mangsa banjir sudah menjadi 'acara tahunan' kami. Kalau dahulu kami tunggu banjir berlaku baru bertindak, sekarang sebelum banjir pun kita sudah siap siaga di kawasan potensi banjir", jelas Selamat.
Sejak itu, JPAM telah terlibat secara aktif dalam pelbagai peristiwa bencana dalam negara. Antaranya, tragedi kondominium Highland Towers tumbang pada 1993, Ops Daulat di Lahat Datu pada tahun lepas dan yang terkini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Mengenai penglibatan JPAM dalam krisis MH370, Selamat berkata, pihak JPAM mengambil tiga tindakan iaitu menyediakan pasukan khas siap sedia untuk misi menyelamat, rondaan pantai dan petugas yang menguruskan keluarga mangsa di hotel tempat mereka menginap.

ANGGOTA JPAM menunjukkan kecekapan menerusi demonstrasi menuruni bangunan tinggi.


Sukarelawan
Berbeza dengan pasukan tentera atau polis dan sesuai dengan nama 'pertahanan awam', tulang belakang pasukan JPAM ialah anggota masyarakat yang mahu memberi khidmat secara sukarela.
Kerja kami lebih bersifat memberi bantuan kemanusiaan, tidak kira siapapun mangsa kepada sesuatu tragedi tanpa mengira latar belakang, warna kulit, bangsa atau agama.
Hari ini, keanggotaan JPAM dibahagikan kepada beberapa jenis, melibatkan kira-kira 1.3 juta orang daripada pelbagai peringkat umur.
Jumlah terkini Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) ialah 750,630 orang. Daripada jumlah ini, 11,800 orang berada dalam keadaan siap siaga dan sedia berkhidmat dalam masa sejam selepas mendapat arahan.
Penyertaan JPAM juga dibuka kepada mahasiswa universiti. Sebanyak 37 universiti dari seluruh negara mempunyai pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) dengan keanggotaan keseluruhan seramai 4,678 mahasiswa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: