|
AURA busana Muslimah yang menampilkan rekaan patuh syariah tetapi berciri moden kontemporari semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama wanita berkerjaya.
Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif kerana semakin ramai pengusaha sama ada secara kecil-kecilan atau sudah mempunyai nama perniagaan menawarkan koleksi pakaian sedemikian.
Bak cendawan tumbuh selepas hujan, situasi ini membangkitkan suatu persaingan sihat, sekali gus memeriahkan lagi industri fesyen Islamik tanah air.
Terbaharu, pelancaran Butik Sohhor Street di Paragon Point, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 1 Mac lalu, menambahkan lagi destinasi beli-belah untuk rangkaian busana Muslimah yang menepati cita rasa pelanggan.
Lebih istimewa, Sohhor Street ini bukan hanya menawarkan satu koleksi jenama, sebaliknya menghimpunkan 18 buah butik di bawah satu bumbung.
Satu bumbung
Ia mengetengahkan konsep fesyen moden yang merangkumi pelbagai pilihan daripada busana Muslimah, pakaian kanak-kanak, persalinan lelaki, koleksi tudung atau selendang dan juga peralatan kosmetik.
Malah, terdapat juga butik yang menawarkan khidmat jahitan bagi mereka yang gemar membeli kain pasang berbanding pakaian siap di samping kelengkapan solat, haji dan umrah.
Salah seorang pemilik butik, Bintu Rasyada Abdul Rahman, 33, berkata, penubuhan Sohhor Street memberi manfaat kepada usahawan muda yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan seperti dirinya.
Mengusahakan jenama byBintu yang menawarkan koleksi jubah, dres, skirt dan shawl, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui, butik tersebut menjadi platform buatnya untuk bergelar usahawan berjaya.
“Sejak kecil saya memang minat berniaga. Waktu sekolah, saya sering bawa kerepek yang mak buat untuk dijual kepada kawan-kawan. Begitu juga, ketika bekerja sebagai wartawan tidak lama dahulu, saya ada mengusahakan perniagaan menjual minyak wangi secara kecil-kecilan.
“Selepas berhenti tahun lalu, barulah saya serius untuk menceburi bidang ini. Alhamdulillah, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan. Pelanggan bukan hanya dari sekitar Bangi, bahkan ada yang datang dari Seremban, Nilai dan Putrajaya,” ujar Bintu Rasyada yang mula berniaga di Sohhor Street sejak Januari lalu dengan modal RM50,000.
Tambah anak kelahiran Kedah ini, material yang digunakan untuk menghasilkan jubah adalah pelbagai seperti satin crepe, likra, kain kapas dan sifon yang diperoleh dari dalam dan luar negara.
Dia turut menjual pashmina yang diimport dari India selain minyak wangi sebagai tambahan kepada dua lot butik yang disewanya.
|
Jenama eksklusif
Secara umumnya, butik ini telah mula beroperasi pada bulan November 2013. Ketika itu hanya ada beberapa peniaga yang mendaftar. Kini, terdapat 18 usahawan yang terlibat menjayakannya dalam usaha menambah pendapatan.
Antara jenama yang ada ialah Cinta Hawa Couture, JoeeShawls, Along Hijrah Collection, Fazalia Boutiqe, Sohhor Collection, Farrahdotcom, Dinar Barokah, Alwani, Busana Norka’iza, Farnia dan Fleur by D’Zuleykha.
Sementara itu, pemilik jenama JoeeShawls, Ernita Effendy berkongsi rasa syukur kerana impian untuk memiliki butik sendiri selepas menjalankan perniagaan secara dalam talian akhirnya tercapai.
“Sebelum ini, saya mengusahakan jualan shawl dan skaf Muslimah yang eksklusif, trendy dan unik melalui internet. Material yang digunakan seperti likra, renda Korea, kain kapas dan sebagainya.
“Sebenarnya, dulu saya tidak bertudung tetapi selepas berhijrah dan berhijab sepenuhnya, saya rasa terpanggil untuk menjalankan perniagaan ini. Niat saya untuk menggalakkan lebih ramai wanita Islam di Malaysia melaksanakan kewajipan berhijab dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah.
“Mungkin dengan melihat rekaan shawl atau skaf yang kami tawarkan, hati mereka terbuka untuk berubah ke arah yang lebih baik selaras dengan tuntutan agama,” ungkap Ernita yang berharap JoeeShawls mampu menjadi satu jenama yang positif, indah, bergaya dan tinggi nilai budaya kepada masyarakat Malaysia.
Dalam pada itu, apabila berbicara tentang busana Muslimah, pastinya ramai yang menggemari satu rekaan pakaian yang bersifat dwifungsi. Sebagai contoh, selain sesuai digayakan untuk ke pejabat atau keluar rumah, pakaian itu juga boleh digunakan terus untuk bersolat.
Itu konsep yang dipilih oleh pengusaha butik jenama Cinta Hawa Couture, Nur Has Linas Bakar. Menerapkan ciri-ciri praktikal pada rekaan jubah dan abayanya, koleksi tersebut berjaya menarik perhatian pelanggan.
Menurut Nur Has Linas, dalam setiap rekaan, pihaknya mengutamakan aspek aurat yang perlu ditutup dengan sempurna. Justeru, dia memilih fabrik likra berkualiti tinggi yang tidak melekap pada badan untuk memberi hasil terbaik kepada pengguna.
“Sebagai pengusaha, ini merupakan tanggungjawab saya untuk menawarkan koleksi pakaian yang patuh syariah dan bukan sekadar fesyen semata-mata.
“Secara peribadi, saya merasakan penutupan aurat perlu dititikberatkan dan fesyen merupakan perkara kedua. Namun, saya tidak menolak bahawa rekaan yang seiring antara kedua-duanya mampu menyerlahkan keanggunan seorang wanita Muslimah,” tutur Nur Has Linas penuh berhemah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: