• Tiga lelaki dicari
KAMPAR – Polis Kampar meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan tiga individu dipercayai terbabit dalam pelbagai kes jenayah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ng Kong Soon berkata, ketiga-tiga lelaki itu diminta tampil bagi membantu siasatan kes yang berkaitan di bawah Seksyen 395/397 dan 379 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mereka yang berusia 27, 28 dan 29 tahun itu dipercayai tinggal di Perak, Johor dan Kedah berdasarkan alamat tertera pada MyKad masing-masing.

“Lelaki yang dikehendaki polis itu adalah Mohd Faizal Ahmad Nazari, 27, beralamat di Kampung Kinjang Lama, Chendriang dan dipercayai terbabit dalam kes ragut.

“Selain itu, polis turut mengesan, Fahmi Hisham Rahim, 28, beralamat di Taman Kluang Barat, 86100 Johor dan Nor Mizam None, 29, beralamat di Kampung Abas, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.

“Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kes samun kereta di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) baru-baru ini” katanya.

Kong Soon berkata, kesemua individu terbabit digesa tampil ke balai polis berhampiran atau orang ramai yang mengenali mereka diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-465 2222 atau 05-465 0020.