Hanya dengan sekali lafaz, pasangan yang mengenakan persalinan rona putih ini, dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Firdaus Subhi, dengan mas kahwin berjumlah RM300.
Sebelum akad nikah, majlis disempurnakan terlebih dahulu dengan acara merisik. Kemudian di susuli dengan majlis pertunangan. Ia menyaksikan Ayu menerima tiga bentuk cincin selain wang hantaran berjumlah RM30,000.
Selain itu, pihak lelaki turut membawa 14 dulang hantaran berupa sepasang telekung, beg tangan Charles & Keith, minyak wangi Boss, sebentuk cincin, kek dan senaskhah Al Quran. Manakala pihak perempuan pula membalas dengan 12 dulang hantaran.
Berlangsung secara sederhana, majlis ini dihadiri lebih 100 tetamu yang terdiri dari pihak keluarga dan juga rakan-rakan terdekat mereka.
"Alhamdulillah... saya bersyukur kerana majlis berjalan lancar dan kami berharap agar perkahwinan ini akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Perkahwinan ini melengkapkan lagi hidup saya," ujar Radhi sebaik saja selamat bergelar suami kepada Ayu.
Jelas Radhi, setakat ini mereka masih belum mendapatkan tarikh yang tepat untuk mengadakan majlis resepsi. Namun kemungkinan besar majlis akan berlangsung selepas Aidilfitri nanti.
"Memang ada rancangan untuk meraikan hari bahagia kami bersama peminat. Paling lambat pun, hujung tahun nanti," katanya.
Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia sembilan tahun.
“Tunggu 4 tahun nikahi Ayu” - Radhi
Kegagalan perkahwinan yang lalu, hampir membuatkan Radhi serik untuk berumah tangga lagi. Sementelah di saat itu juga dia terpaksa bertarung dari ketagihan dadah. Namun pertemuannya dengan gadis muda, Ayu, yang ketika itu masih bersekolah banyak mengubah kehidupannya.
Lebih bermakna apabila pertemuan itu akhirnya membawa kepada ikatan suci dan menjadi titik permulaan baharu dalam hidupnya.
Menurut Radhi, dia merasakan pernikahan kali kedua ini merupakan satu perkara terbesar dan paling berharga dalam hidupnya.
Menganggap isterinya merupakan jodoh terbaik yang dikurniakan ALLAH SWT kepadanya, Radhi mengakui Ayu merupakan sebahagian daripada semangat, yang menggerakkannya untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.
“Saya tunggu Ayu selama empat tahun untuk hidup bersamanya. Saya pilih dia sebab dia bagaikan 'tulang belakang' saya. Jika diikutkan kesan daripada pengambilan dadah yang lalu, otak saya dah tak ‘fresh’ ada kalanya tidak mampu berfikir dengan baik. Ayulah yang banyak bantu saya.
“Walaupun dia muda, tapi dia sangat matang. Kadangkala dia buat saya berfikir sejenak hanya melalui beberapa perkataan saja. Dia sangat 'cool' dan sentiasa buat saya berfikir secara mendalam. Apa sahaja percakapannya sangat berguna.
"Malah, dia juga sangat menitikberatkan kehidupan yang sihat. Sejak dulu, dia dan keluarga banyak membantu saya meninggalkan jalan hidup saya yang dulu,” kata Radhi yang mengakui sedah bebas sepenuhnya dari najis dadah selepas menjalani rawatan pemulihan di Rumah Pengasih.
Mengimbau detik pertemuannya bersama Ayu, pengacara Switch Off ini berkata, dia sudah mengenali Ayu sejak lima tahun lalu.
"Ketika itu, saya sedang membuat persembahan di pusat beli belah The Curve, Damansara. Kebetulan Ayu datang menonton. Pada mulanya, saya anggap dia hanyalah sebagai peminat. Namun lama-kelamaan kami semakin rapat dan saya tertarik dengannya," kata Radhi.
Pujuk Radhi ubah sikap
Dalam pada itu, Ayu juga turut berkongsi pengalamannya mengenali Radhi. Menurut Ayu, walaupun Radhi mempunyai sejarah hitam namun, dia dan ahli keluarganya menerima dan sentiasa menyokong secara positif untuk melihat perubahan Radhi.
"Pada mulanya mak selalu nasihat saya agar berhati-hati dan jangan berkawan dengan orang yang mengambil dadah dan berpelesiran dengan kawan-kawan yang tak tentu hala. Namun, dalam saya berhati-hati itu, akhirnya saya berjumpa dengan Radhi. Masa itulah saya sentiasa memujuknya untuk berubah, meninggalkan penagihan dan pergi ke pusat pemulihan.
"Pada masa itu, Radhi selalu nak tahu kenapa saya tak habiskan masa saya untuk berhibur pergi ke kelab malam dan cuba gunakan masa remaja saya, namun, saya memberitahunya, hanya melihat sejarah hidupnya, sudah cukup mengajar saya erti kehidupan. Pemikiran itu yang membuatkan Radhi kagum dengan saya," katanya yang menerima Radhi kerana kesungguhan Jejaka yang berasal dari pulau borneo itu untuk memperisterikannya.
Menurut Ayu, baginya Radhi adalah seorang yang amat terbuka dan sangat menghormati orang lain.
"Segala nasihat yang saya berikan, dia dapat terima sekali gus berjaya mengubah dirinya untuk menjadi lebih positif," katanya.
Di tebak mengenai perbezaan umur antara mereka, Ayu berkata perkara itu tidak menjadi masalah besar, kerana dia menerima Radhi seadanya.
“Bagi saya, ada satu persamaan bagi kami berdua, jadi soal perbezaan umur tidak menjadi halangan memandangkan Radhi juga banyak mengajar saya erti kehidupan. Daripada pengalaman Radhi yang lalu, saya dapat lihat bagaimana laluan kehidupan yang sebenar,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: