Monday, April 7, 2014

Hamil 10 minggu, naik empat kilogram




DERAIAN hilai tawa kedengaran di hujung corong telefon saat temu bual dilakukan baru-baru ini bersama aktres jelita, Rozita Che Wan, 41, atau lebih mesra disapa dengan nama Che Ta.
Ironi, sejak hamil, isteri kepada Zain Saidin itu sukar sekali mengangkat telefon, apa lagi melakukan temu bual dengan pihak media.
"Mahu pergi sesi fotografi pun saya jadi tidak suka sebab saya rasa rimas. Saya rasa semua berbau busuk," katanya seraya mengaku tabiat itu tidak pernah hadir dalam dirinya sebelum dia hamil.
Bicara kami dilanjutkan. Daripada bicara tentang penjagaan waktu hamil sehingga kesediaannya untuk melahirkan secara normal selepas 16 tahun tidak berpengalaman berada di dalam dewan pembedahan. Paling menarik, usia Che Ta juga bukan lagi pucuk hijau, namun sudah meniti angka 41 tahun.
Bukan sesuatu yang janggal untuk wanita seusianya hamil lagi, namun mengenali Che Ta sejak mula menceburi bidang lakonan hingga hari ini, dia seorang yang amat menitikberatkan kecantikan bentuk tubuhnya.
Meskipun usia kandungan baru mencecah 10 minggu atau dua bulan lebih, berat badannya telah bertambah sebanyak empat kilogram, apatah lagi seleranya lebih berat untuk memakan nasi setiap hari.
"Saya sendiri terkejut berat badan naik dengan mendadak. Selera makan semakin bertambah dan saya sekarang sangat suka makan nasi daripada makanan Barat.
"Buat masa ini berat badan saya 54 kilogram. Jadi, saya sudah mula tinggalkan baju yang mengikut badan, sebaliknya pakai baju yang longgar dan selesa," ucapnya.

GAMBAR terkini pasangan Che Ta dan Zain yang dimuat naik dalam Instagram milik Che Ta yang kini hamil 10 minggu.


Ulas Che Ta, dia tidak kisah andai berat badannya semakin bertambah dan telah bersedia dengan perubahan bentuk tubuhnya.
"Memang saya mengaku saya seorang yang sangat mementingkan kecantikan tetapi apabila hamil, banyak perkara yang berubah terutama bentuk badan.
"Saya sudah bersedia dan tidak kisah dengan perubahan itu. Bagi saya, kehamilan dan perubahan badan sesuatu yang dilalui oleh setiap wanita. Paling penting selepas bersalin, saya akan menjaga pemakanan sebaik mungkin," tuturnya.
Ingin bersalin normal
Hamil pada usia 41 tahun merupakan satu anugerah yang terindah tetapi terdapat risiko besar yang harus ditanggung Che Ta kerana faktor usia.
Sedar akan risiko besar di depannya, ibu kepada Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16, itu berharap dia dapat bersalin secara normal pada hujung Oktober depan.
"Sebenarnya saya seorang yang tidak tahan sakit. Ketika melahirkan dua orang anak sebelum ini saya menggunakan ubat tahan sakit epidural.
"Kehamilan kali ini saya belum mendapat sebarang nasihat daripada doktor kerana kandungan masih terlalu awal untuk berbincang soal proses bersalin. Jika boleh, saya mahu bersalin secara normal kerana proses penyembuhannya lebih cepat," katanya yang tidak kekok untuk memakan jamu semasa berpantang.
Tegas Che Ta, apabila memikirkan dia diberi peluang sekali lagi untuk merasai pengalaman hamil dan berpantang, terus dipanjatkan kesyukuran kepada Allah.

MACAM KAWAN... Dari kiri: Anak sulung Che Ta hasil perkahwinan terdahulu, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra bersamanya dan Zain.


Apatah lagi rezeki yang datang kepadanya dan Zain agak cepat, hanya selepas tiga bulan mereka bergelar suami isteri.
"Kami tidak pernah merancang ingin anak cepat atau lambat kerana semuanya adalah rezeki. Bagaimanapun, tidak sangka secepat ini. Apa pun orang yang teruja dengan kehamilan ini sudah pasti Zain kerana ini pengalaman pertamanya untuk bergelar bapa," kata Che Ta.
Bercakap tentang sikap terbukanya dan Zain dalam berkongsi berita gembira itu kepada peminat, jelas Che Ta, tidak menjadi suatu kesalahan untuk berkongsi berita gembira bersama orang lain.
"Orang tua kata tidak elok untuk umumkan kehamilan pada peringkat awal tetapi bagi saya apa salahnya berkongsi berita gembira.
"Sebenarnya Zain yang tidak sabar untuk umumkan berita saya sah hamil kerana dia terlalu gembira. Apa yang penting saya harus menjaga kesihatan diri dan berharap doa daripada semua orang agar proses kehamilan berjalan lancar," ujarnya yang telah memilih nama Aisyah Alia untuk anak perempuan dan Muhammad Ali untuk anak lelaki.
Buka syarikat produksi
Akui kakak kepada aktres Ayu Raudhah itu, dia cepat berasa letih sejak berbadan dua. Disebabkan itu, dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon terutama yang menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, itu bukan bermakna dia hanya berehat di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti, sebaliknya Che Ta masih sibuk dengan rakaman program
TERKENAL dengan susuk tubuh yang menarik, kata Rozita, dia sudah bersedia dengan perubahan susuk tubuh yang bakal dialami sepanjang hamil dan selepas bersalin nanti.


Primadona, perniagaan tudung di bawah jenama Padusi dan syarikat produksi Padusi Pictures.
"Zain suruh saya banyak berehat dan hanya duduk di rumah. Saya pula sudah biasa sibuk, jadi saya tidak boleh duduk diam tanpa bekerja. Walaupun kurangkan lakonan tetapi kerja yang lain masih berjalan seperti biasa," ujarnya.
Disoal mengapakah dia membuka syarikat produksi sendiri, jawab Che Ta, itu merupakan persediaan andai dia tidak lagi aktif berlakon pada masa hadapan.
"Zain tidak pernah halang saya untuk terus berlakon walaupun selepas saya bersalin. Namun, saya sendiri terfikir sampai bila saya larat untuk berlakon, usia pun bukannya makin muda.
"Jadi, perniagaan tudung dan syarikat produksi merupakan persediaan untuk saya. Duit yang saya dapat ketika berlakon, saya simpan sedikit demi sedikit untuk membuka syarikat produksi sendiri. Mungkin selepas ini saya hanya akan aktif di belakang tabir sahaja dan memberi fokus kepada keluarga," terangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: