|
SELEPAS melancarkan single kedua Lelaki Atas Awan empat tahun lalu, lulusan Akademi Fantasia musim keempat, Diddy Hirdy seperti hilang daripada radar industri hiburan tempatan.
Bagaimanapun jelas Diddy, sepanjang tempoh itu dia sibuk menyambung pengajiannya di sebuah universiti awam dan pada masa sama menguruskan keluarganya.
Percaya atau tidak cerita Diddy berseloroh, dia pernah disapa dengan panggilan Didie Alias dalam kalangan peminatnya ketika bertemu di tempat awam.
“Lucunya, apabila ada peminat yang memanggil saya dengan nama Didie Alias, saya ketawa tapi iyakan saja. Walau tersalah nama tapi itu buktinya saya masih diingati peminat.
“Saya tidak menghilang cuma mungkin nampak hilang sebab jarang keluar media dan tiada produk seni dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Lagipun saya sibuk menghabiskan baki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Utara Malaysia, Kedah dan insya-Allah akan bergraduasi pada bulan September nanti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Bidadari Hati di Loulpop Studio & Art Gallery, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tak hilang
Jelas Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdy Muhid, 29, dia masih aktif menyanyi sepanjang menuntut di universiti berkenaan tapi pada masa sama meletakkan fokus terhadap rumah tangga yang dibinanya tiga tahun lalu.
“Tumpuan saya juga pada keluarga saya kerana selepas berkahwin saya sendiri memilih untuk melekat bersama keluarga dan melihat anak saya membesar depan mata,” ujar bapa kepada Nadra Ayrssa Jauza, 4 tahun.
Diddy telah melangsungkan perkahwinan dengan Allen Nor Azah Musa di Pasir Gudang, Johor pada awal tahun 2010.
Tiada sebarang produk dalam tempoh masa yang panjang, Diddy mengakui yang dia terseksa dan sentiasa mencari peluang untuk berkarya dengan komposer ternama.
“Sebagai anak seni, penantian tanpa sebarang karya adalah suatu penyeksaan tapi syukur Alhamdulillah saya dipertemukan dengan komposer berbakat besar Tam Spider yang bersetuju untuk berkolaborasi dalam single terbaharu ini,” katanya.
Segan bersinglet
Ditanya kekuatan lagu Bidadari Hati, kata Diddy, single itu punyai kualiti dari segi melodi dan lirik yang dicipta oleh Poji.
“Bukan senang sepanjang proses pembikinan single ini, demo awal lagu ini seratus peratus berbeza berbanding hasil akhirnya.
“Saya mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Shafi untuk memantapkan lagi penyampaian dan teknik nyanyian saya, sesuai dengan kematangan dan perubahan yang ingin saya lakukan,” tambah Diddy.
Dalam perkembangan sama, Diddy turut melancarkan klip video Bidadari Hati yang diarahkan oleh Khairul Hazwan dan dirakam di Pulau Tioman pada hujung bulan Februari lalu.
“Perbincangan untuk klip video ini bermula sejak bulan Oktober tahun lalu lagi dan saya mengambil inisiatif untuk ke gimnasium bagi memperkemaskan bentuk badan saya memandangkan penggambaran dijalankan di tepi pantai.
“Memang saya segan untuk imej sedemikian tambah pula saya tidak pernah memakai singlet di depan orang ramai, Alhamdulillah sepanjang tiga bulan berlatih, saya mendapat bentuk tubuh yang diinginkan,” singkapnya.
Diddy bakal mengikuti pengajian singkat selama sebulan di Royal College of Music, London, England bermula 23 April ini menerusi program Singing Out London.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: