Saturday, February 1, 2014

Sekolah tahfiz pertama beroperasi


  • Sekolah tahfiz pertama beroperasiPara pelajar Madrasah Tahfiz Al-Umm dan Jawatankuasa Pengurusan Sura Kampung Sepakat merakam kenangan bersama Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat (duduk, tengah) ketika majlis pembukaan.

ROMPIN - Usaha untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz oleh penduduk Kampung Sepakat, Kuala Rompin, di sini, sejak tahun 80-an kini menjadi kenyataan apabila ia berjaya ditubuhkan atas usaha generasi sekarang yang juga merupakan pihak pengurusan di surau kampung tersebut.

Difahamkan, sekolah tahfiz yang diberi nama Madrasah Tahfiz Al-Umm yang dibina dalam kawasan surau Kampung Sepakat itu juga adalah sekolah tahfiz pertama di daerah ini dan telah beroperasi secara rasmi pada 18 Januari lalu.

Setiausaha Madrasah Tahfiz Al-Umm, Abu Bakar Mamat, 46, berkata, sangat bersyukur kerana usaha yang dirintis selama lebih 30 tahun akhirnya terlaksana.

“Usaha untuk menubuhkan tahfiz ini telah dirintis generasi awal kampung ini sejak sekitar tahun 80-an dan tahun lalu usaha tersebut disambung generasi sekarang oleh pihak pengurusan Surau Kampung Sepakat.

“Sekolah tahfiz ini dikelola sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pendidikan Surau Kampung Sepakat yang diketuai ustaz Ibrahim Man,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sumbangan dalam bentuk kewangan dan juga tenaga oleh pelbagai pihak sangat dihargai dan semoga ia akan kekal berterusan.

“Sumber kewangan penubuhan sekolah adalah sumbangan masyarakat sekitar dan pelbagai pihak dalam bentuk wang ringgit dan bahan binaan serta makanan.

“Namun begitu, pihak sekolah masih lagi memerlukan sumbangan untuk menampung makanan harian pelajar di sini,” katanya.

Bilangan pelajar bagi sesi pertama 2014 seramai 20 orang yang datang dari pelbagai tempat antaranya Johor Bahru, Mersing, Pekan dan penduduk tempatan sekitar usia 10 hingga 17 tahun.

Kepada yang berminat untuk memberi sumbangan derma kepada Madrasah Tahfiz Al-Umm boleh menyalurkannya melalui akaun Agro Bank atas nama Bendahari Surau Kampung Sepakat di nombor akaun 2006331000007967.

Sementara itu, Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat berharap dengan wujudnya sekolah tahfiz tersebut akan mencetuskan semangat kepada masyarakat untuk lebih mendalami dan belajar al-Quran secara khusus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: