|
BELAJAR memasak menerusi internet kini menjadi satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat memandangkan medium tersebut boleh dilakukan di rumah, malah mampu memberikan hasil yang diingini dengan mudah.
Internet yang dilihat sebagai satu wadah ilmu tanpa sempadan ini memberi manfaat bukan sahaja bagi golongan wanita yang biasanya dikaitkan dengan kerja-kerja dapur, tetapi juga kaum lelaki dan kanak-kanak yang ingin mempelajari teknik-teknik masakan dan resipi enak yang pelbagai.
Bagi Norsyahirah Jamaludin, 24, ataupun mesra disapa Sera, internet merupakan sumber rujukan utamanya untuk menghasilkan hidangan harian, di samping kek dan pastri yang menjadi hobinya.
Wanita yang berasal dari Selangor dan kini menetap di Johor Bahru itu memberitahu, pada peringkat permulaan dia sekadar suka-suka mencari beberapa resipi ringkas di internet demi mengisi masa lapang.
Juadah terawal
Antara juadah terawal berjaya dihasilkan melalui rujukan internet ialah kek keju dan manisan pavlova. Sejak itu, ia bertukar menjadi minat yang mendalam dan menaikkan semangatnya untuk menghasilkan pelbagai jenis pencuci mulut. Lebih-lebih lagi, apabila semuanya mendapat pujian keluarga dan rakan-rakan setelah gambar yang diambil dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
"Semuanya boleh didapati dengan mudah di internet. Hanya taip sahaja resipi yang kita inginkan kemudian terpampang cara-cara, gambar dan video berkenaan. Kemudahan ini amat berguna bagi mereka yang baru berjinak-jinak memasak seperti saya.
"Saya tidak mengambil kelas masakan atau menghadiri mana-mana forum tetapi hanya merujuk beberapa laman web tempatan sahaja," kata graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Pengiklanan) di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu sambil memaklumkan laman web utama yang dikunjungannya ialah www.azlitamasammanis.com.
|
Sera memberitahu, selalunya dia akan mengikut 100 peratus apa yang dipaparkan pada satu-satu resipi yang dirujuk. Bagaimanapun, apabila sudah memahami teknik yang betul, dia mengolah resipi mengikut cita rasanya.
"Sama ada memasak atau membuat pastri, ia memerlukan teknik-teknik yang tersendiri. Untuk cepat mahir, kita harus sentiasa berlatih untuk membiasakan diri dengan teknik yang dipelajari," ujarnya.
Selain hidangan pencuci mulut, membuat roti juga memberi keseronokan kepadanya sungguhpun, ia mengambil masa yang lebih lama untuk dihasilkan.
"Walaupun begitu, menghidu aroma roti yang sedang dibakar atau dihidangkan semasa panas sememangnya mengundang selera. Kepuasan melihat hasil kerja sendiri menyuntik semangat saya untuk terus memasak," akui Sera yang mempunyai perancangan membuka perniagaan makanan suatu masa nanti.
Belajar memasak
Dr. Ezani Farhana Md. Monogo, 29, yang pernah menjuarai program realiti masakan, MasterChef Malaysia musim pertama melontarkan pendapatnya dengan berkata, setiap individu boleh belajar memasak menggunakan sumber yang pelbagai, bukan sahaja daripada internet, asalkan berani mencuba.
"Biarpun pernah memegang gelaran tersebut, namun saya tidak sesekali menggelar diri sebagai cef. Ketika itu, saya baharu sahaja tamat pengajian dalam bidang pergigian dan hanya ingin mengasah bakat semata-mata.
"Minat saya terhadap bidang kulinari dipupuk ibu, Bidah A. Hamid, seawal usia lima tahun telah mendorong saya menyertai program televisyen berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ditanya mengenai perbezaan antara tukang masak biasa dan seorang cef, Ezani menjelaskan, bahawa kedua-duanya gelaran tersebut mempunyai definisi yang tersendiri.
"Tukang masak bekerja di sesuatu tempat contohnya, di sekolah atau restoran dengan bahan-bahan untuk masak dan menu sajian telah disediakan.
|
"Kerjaya cef pula bukan mengenai soal masak semata-mata, mereka juga perlu menyiapkan senarai barangan yang diperlukan, menu dan sabar melayan kerenah pelanggan," ujarnya lagi.
Ezani mengakui, dia menghormati individu yang sudah bertahun-tahun bergelar cef. Ini kerana proses untuk mendapatkan gelaran itu bukannya mudah kerana ia melibatkan kelulusan, pengalaman bekerja dan juga pengorbanan yang tinggi.
"Tidak semua individu mempunyai kelulusan dalam bidang masakan berpeluang menjadi cef. Bagi saya, seorang cef seharusnya mempunyai semangat dan kemahiran tinggi dalam penyediaan hidangan enak sekali gus memberikan kepuasan kepada pelanggan," tuturnya.
Walaupun kini memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai doktor pergigian di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Ezani masihi menerima undangan untuk program-program masakan tempatan selain menjadi cef undangan dalam sebuah program televisyen yang akan disiarkan mulai bulan Mac depan.
Sementara itu, Oliez Academy yang terletak di Skudai, Johor Bahru, menyediakan kursus masakan bagi jangka masa pendek meliputi pelbagai jenis masakan Melayu dan kuih-muih, masakan Barat serta dekorasi kek.
Akademi masakan
Pemiliknya, Siti Zaleha Mohmi, 42, berkata, perniagaannya yang kini berusia empat tahun bermula secara kecil-kecilan di rumah dengan penyertaan awal dua orang pelajar.
Ekoran pertambahan bilangan pelajar, Siti Zaleha dengan bantuan suaminya, Khairul Jamlli Khalid, 45, telah membuka akademi masakan itu di sebuah lot kedai di Taman Sri Pulai Perdana.
Para pelajarnya bukan sahaja sekitar Johor malah ada yang datang dari Singapura, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Terengganu.
Mengulas mengenai kelas-kelas masakan yang dikelolakannya, beliau berkata, Oliez Academy sering menjalinkan kerjasama dengan beberapa cef terkemuka tempatan yang turut dijemput sebagai tenaga pengajar jemputan ekoran peningkatan permintaan dan penyertaan pelajar.
"Bermula tahun 2011, kami telah mengadakan usaha sama dengan cef Amer Hamzah dan mengendalikan kelas beliau di Johor Bahru, manakala tahun 2012 dengan cef Ustazah Wan Habsah untuk kelas masakan nasi Arab. Beberapa cef jemputan turut terlibat dalam kelas-kelas dekorasi kek, kuih-muih tradisional dan penghasilan kek lapis Sarawak," jelasnya.
Katanya, yuran penyertaan adalah berbeza mengikut kelas. Contohnya, kelas kek komersial bersama Amer dikenakan yuran RM290 setiap seorang manakala kelas kuih-muih tradisional sebanyak RM230 seorang.
"Setakat ini, sambutan terhadap kelas-kelas tersebut amat baik, khasnya kelas Amir yang sentiasa penuh. Malah, adakalanya kami tidak sempat membuka pendaftaran kepada umum kerana pelajar sedia ada telah mendaftar untuk kelas seterusnya," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: