Wednesday, February 26, 2014

Profima martabat pelakon lagak ngeri



YANK KASSIM (berdiri tiga dari kiri) bersama antara pelakon lagak ngeri yang hadir pengumuman program Road To Hollywood di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DALAM setiap penerbitan filem atau drama, kru yang terlibat di belakang tabir merupakan tonggak utama dalam menentukan kejayaan sesebuah produksi.
Lebih-lebih lagi, jika cerita yang cuba ditampilkan adalah bergenre aksi dan banyak menuntut lagak ngeri daripada para pelokon serta kesan-kesan khas menggunakan prop.
Bagaimanapun, pelakon-pelakon lagak ngeri dan kru-kru yang terlibat dalam memantau bahagian teknikal di negara kita tidak didedahkan dengan pembelajaran yang khusus oleh tenaga pengajar profesional.
Justeru, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bakal menerbangkan seramai 11 orang ahli-ahli persatuan tersebut ke Australia dan Amerika Syarikat (AS) menerusi program yang diberi nama Road To Hollywood.
Presiden Profima, Khir Mohd. Noor berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan yang secara formal kepada pelakon-pelakon serta kru-kru mengenai proses-proses yang terlibat dalam pembikinan filem bergenre aksi.
Sering dibandingkan
"Sejak akhir-akhir ini, produksi tempatan gemar menghasilkan filem-filem bergenre aksi.
"Namun, apa yang kita tampilkan sering dibandingkan oleh peminat dengan produksi-produksi luar negara terutamanya di Hollywood.
"Ada yang mengatakan aksi lagak ngeri tempatan tidak sehebat seperti di Hollywood.
"Bagaimanapun, perbandingan itu ada benarnya. Produksi di sana mempunyai kru-kru yang telah dilatih secara profesional menerusi pembelajaran formal berkenaan aksi lagak ngeri.
Tambahan, mereka turut mempunyai tenaga-tenaga yang terlatih dalam bidang yang tersendiri serta melakukan kerja-kerja berdasarkan kemahiran yang ada pada mereka.
"Sebagai contoh, pengarah di Malaysia turut mengarahkan aksi lagak ngeri yang melibatkan props dan letupan. Tetapi di Hollywood, mereka mempunyai pengarah lagak ngeri tersendiri yang begitu terlatih dan mahir untuk menghidupkan lagi babak yang dikehendaki," katanya pada sidang akhbar pengumuman program Road To Hollywood di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kongsi ilmu
Melanjutkan perbualan, Khir menambah, kumpulan pertama yang bakal memulakan pengajian mereka di Stunt Academy, Gold Coast, Australia pada 28 Februari depan bakal berkongsi ilmu sebagai mentor kepada ahli-ahli Profima yang lain.
"Setelah mendapat pengalaman selama tiga bulan di Australia dan kemudiannya ke California, AS untuk latihan teori dan praktikal, mereka akan kembali ke Malaysia dan berkongsi ilmu yang ada dengan rakan-rakan yang lain.
"Seperti kita sedia maklum, hampir 75 peratus penggiat filem di Malaysia bukan datang daripada sekolah seni. Justeru, dengan adanya program seperti ini, mereka yang telah ke sana mampu berkongsi ilmu dengan yang lain," jelasnya lagi.
Mereka yang disenaraikan untuk mengikuti program ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya, mereka perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun dalam bidang lagak ngeri atau telah terlibat dalam pembikinan lebih 15 buah filem.
Belajar semua bidang
Sementara itu, pelakon Yank Kassim yang cukup terkenal dengan drama dan filem aksi berkata, penglibatannya dalam program Road to Hollywood dilihat mampu memberikannya peluang mendalami dunia lagak ngeri dengan lebih terperinci.
"Selama 15 tahun menceburkan diri dalam bidang ini, saya tidak pernah mendapat sebarang pembelajaran secara formal.
"Justeru, apabila diberi peluang untuk menyertai program Road to Hollywood, saya akan buktikan bahawa pekerjaan pelakon lagak ngeri juga merupakan sebuah kerjaya yang perlu diberi pendedahan secara formal," katanya.
Tambah Yank, ketika berada di sana nanti, dia turut mengambil semua kursus yang ditawarkan termasuklah pengarahan aksi, koordinator aksi dan koordinator keselamatan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: