Friday, February 28, 2014

Konsert Pray 4 kedua 8 Mac ini



KUMPULAN Unic antara kumpulan nasyid yang akan menghiburkan penonton pada Konsert Pray 4 siri kedua ini.


SELEPAS kejayaan konsert pertama yang diadakan pada 7 September tahun lalu, pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan kerjasama Muslim Care, Sinergi Ilmu, Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Konsert Pray 4 kembali dengan siri kedua.
Masih menggunakan nama Konsert Pray 4, konsert kali kedua ini akan berlangsung di Dataran Dewan Cempaka Sari, Presint 3, Putrajaya pada 8 Mac, pukul 8 hingga 11 malam.
Secara umumnya, konsert tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran dan meneruskan usaha murni rakyat Malaysia bagi sama-sama membantu umat Islam di Syria, Mesir, Rohingya dan Gaza yang masih memerlukan bantuan.
Antara artis yang akan memeriahkan Konsert Pray 4 pada kali ini ialah kumpulan nasyid Inteam, Far East, UNIC dan artis Usrah Fitrah yang terdiri daripada Heliza Helmi, Salima Habibi, Diana Amir dan Yatt Hamzah.
Seperti sebelum ini, orang ramai yang hadir dapat berhibur sambil beramal dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman yang sebenar; tujuan untuk membantu umat Islam di Syria, Mesir, Rohingya dan Gaza khususnya.
ILMAM mengambil inisiatif meneruskan hasrat penganjuran Konsert Pray 4 ini sebagai batu loncatan dan usaha ambil tahu rakyat Malaysia secara amnya terhadap isu-isu yang sedang berlaku di negara umat Islam seperti Syria, Mesir, Gaza dan etnik Rohingya.
HELIZA antara artis perempuan yang akan memeriahkan Konsert Pray 4.


Konsert Pray 4 ini juga akan dibawa secara langsung menerusi TV Online di www.tvikim.my dan IKIMfm bertindak sebagai penyiar rasmi.
Naib Presiden ILMAM, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berpandangan bahawa isu yang berlaku di Mesir bermula pada bulan Ogos tahun lalu memberi gambaran bahawa keprihatinan ILMAM terhadap isu umat Islam di Mesir.
ILMAM telah menubuhkan Prihatin Mesir melalui pautan Facebook dan rakyat Malaysia telah menyumbang lebih daripada RM200,000 sebagai tanda sokongan.
Sebanyak RM80,000 daripadanya dikumpulkan melalui Konsert Pray 4 yang pertama pada September tahun lalu.
Justeru, beliau mengharapkan agar Konsert Pray 4 pada 8 Mac ini akan mengumpulkan jumlah sumbangan yang besar dan dapat disalurkan melalui Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslimcare) sebagai NGO yang bertindak khusus dalam menangani isu yang berlaku di Syria.
Orang ramai dijemput untuk sama-sama menghadiri konsert ini secara percuma dan menyumbang di dalam tabung yang akan diedarkan pada malam tersebut.
ILMAM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sanggup turun melaksanakan persembahan amal ini untuk memeriahkan acara pada malam tersebut.
Konsert ini juga diadakan sempena Ekspo Buku Islam Putrajaya yang diadakan bermula 28 Februari hingga 9 Mac 2014.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: