|
LUMRAH menjadi insan yang dikenali dalam dunia glamor seni, pelakon Ana Dahlia turut tidak dapat lari daripada perhatian umum, biarpun ia sekadar membabitkan kisah peribadinya.
Apa sahaja yang dilakukan bekas isteri Chef Riz yang juga anak kepada chef selebriti tersohor, Chef Wan ini pantas menarik perhatian umum.
Justeru, apabila sekeping foto Ana bersama seorang pemuda kacak dan sasa yang berjumpa dengan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail di muat naik menerusi Instagram milik Ana sendiri, ia segera menimbulkan spekulasi.
Gara-gara itulah, timbul khabar angin mendakwa Ana bakal berkahwin lagi selepas perkahwinannya pada 11 Disember 2011 dengan Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, hanya mampu bertahan selama 11 bulan.
Ana yang pernah membintangi filem Mantra itu ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.
"Tujuan sebenar saya berjumpa dengan dia (Ezuwan) adalah untuk berbincang mengenai persiapan baju saya menjelang Anugerah Bintang Popular (ABP) yang bakal berlangsung pada bulan Mac ini.
"Ia juga tidak ada kaitan langsung mengenai ura-ura yang saya akan berkahwin dalam masa terdekat.
"Namun sebagai seorang manusia saya juga ingin mempunyai teman hidup seperti orang lain," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Akui Ana: "Pemuda yang menemani saya berjumpa dengan Ezuwan itu namanya ialah Ubai Zulkiflee.
"Dia biasa menemani saya apabila saya ada urusan kerja. Namun, (hubungan) kami belum sampai ke tahap teman istimewa."
Pemilik nama sebenar Diyana Mastura Jaafar itu juga memberitahu, jadual penggambaran yang padat telah menyebabkan dia tidak mempunyai masa yang sesuai untuk memikirkan soal untuk berkahwin lagi.
"Biarlah saya tumpu perhatian kepada karier dahulu, jodoh akan datang dengan sendirinya. Saya akui mempunyai ramai teman tetapi belum ada yang boleh dianggap sebagai teman istimewa," kata pelakon berusia 31 tahun itu.
Berbicara dengan bekas peserta program realiti TV, Pilih Kasih ini, nama Chef Wan tidak sah kalau tidak turut disebut.
Kata Ana, sehingga sekarang, hubungan bersama kedua-dua bekas ibu dan bapa mertuanya masih utuh dan mereka tetap memberi sokongan moral kepada Ana.
"Alhamdulillah, kedua-dua bekas ibu dan bapa mertua saya sangat menyokong dan tidak pernah memusuhi saya. Sehingga sekarang, saya masih menjalinkan hubungan baik dengan mereka," kata anak kedua daripada enam adik-beradik tersebut.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, ujar Ana, dia kini sibuk menjalani penggambaran untuk drama terbaharu terbitan Suhan Movies.
"Drama 13 episod tersebut masih lagi dalam proses penggambaran dan setelah selesai, insya-Allah ia akan ditayangkan selewat-lewatnya tahun ini.
"Saya juga baru selesai daripada penggambaran bersama drama, Janji Jasmine terbitan Orangetree Production untuk siaran TV3, selain sebuah drama berjudul, Cinta Kedua yang masih belum ditentukan tarikh tayangannya.
Tambah Ana: "Buat masa sekarang, saya hanya ingin menumpukan sepenuh perhatian kariernya dalam bidang lakonan."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: