Sunday, February 23, 2014

Tiket tonton Rossa empat angka


ROSSA bakal membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di The Royale Chulan Damansara yang akan berlangsung pada 9 April nanti.


KALI terakhir penyanyi tersohor dari Indonesia ini terlibat dengan sebuah persembahan Minggu Setiausaha sekitar tahun 2007 menerusi kolaborasi bersama Mawi.
Bertempat di Sogo City, Kuala Lumpur mereka menghiburkan kira-kira 1,500 tetamu yang terdiri daripada setiausaha dan pengurus besar.
Namun, setelah sekian lama terikat dengan jadual kerja yang padat. Kini, Datuk Rossa Roslaina Handiyani atau lebih mesra membahasakan diri Rossa kembali diundang sebagai pengisi persembahan sempena Minggu Setiausaha.
Memilih Hotel The Royale Chulan Damansara, Kuala Lumpur sebagai lokasi kedua persembahan Minggu Setiausaha pada 9 April nanti, Rossa bakal membawa tema Atas Nama Cinta... A Tribute To Secretaries.
"Saya jarang datang ke Malaysia untuk membuat persembahan. Mungkin dalam sebulan hanya dua kali diundang. Namun, untuk persembahan Minggu Setiausaha, ini merupakan penglibatan kali kedua.
"Insya-Allah persembahan kali ini lebih santai supaya lebih dekat dengan peminat. Jika sebelum ini saya banyak berada di atas pentas tetapi untuk majlis yang tertutup ini saya mahu lebih mengenali tetamu yang hadir.
"Jamuan makan tengah hari itu akan dipenuhi dengan koleksi lagu-lagu hit saya. Kira-kira 12 buah lagu yang akan dipersembahkan, tidak termasuk lagu medley yang akan saya nyanyikan atas permintaan peminat nanti," ujar Rossa yang kini berumur 36 tahun itu.
Sementara itu, Rossa antara penyanyi dari Indonesia yang dilihat laris sepanjang melebarkan karier di Malaysia. Malah, kehadirannya di sini disambut baik daripada peminat mahupun rakan selebriti.
KEHADIRAN Rossa disambut baik biar daripada peminat begitu juga rakan selebriti.


"Masyarakat di sini semuanya baik-baik. Karier nyanyian saya pula mendapat respons yang positif.
"Malaysia sentiasa dalam fikiran. Apabila saya keluar dengan single lagu baharu, saya akan memastikan lagu itu akan turut diminati oleh pendengar di sini.
"Selain itu, saya banyak dibantu oleh syarikat label Suria Record yang menyediakan jadual persembahan," jelas Rossa.
Dalam pada itu, Minggu Setiausaha anjuran The Royale Chulan, Damansara ini merupakan kali pertama penganjurannya. Mengambil Rossa sebagai artis undangan berdasarkan permintaan ramai.
Meskipun meletakkan harga tiket serendah RM500 sementara tiket termahal RM1,500 seorang untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang berdurasi 60 minit, ternyata ia merupakan percaturan yang bahaya tatkala melihat 'demam' acara sebegitu semakin berkurangan.
"Alhamdulillah, setakat hari ini pihak kami sudahpun menerima tempahan daripada beberapa organisasi. Kami percaya setiap perniagaan itu pasti mempunyai risiko.
"Namun, kami percaya dengan kehadiran Rossa serta artis jemputan Hafiz Suip ia akan menjadi sebuah majlis yang eksklusif," kata Pengarah Jualan dan Pemasaran The Royale Chulan Damansara, Badrul Rezal Baharudin.
Menurutnya lagi, hotel itu turut menyediakan pelbagai hidangan di samping menyediakan hadiah-hadiah menarik yang boleh dibawa pulang oleh para tetamu.
Antaranya tiket penerbangan pergi balik ke Amsterdam dan Jakarta.
Tiket Atas Nama Cinta.... A Tribute To Secretaries boleh ditempah menerusi ticket@trcd.com.my atau boleh menghubungi talian 03-7959 9000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: