Tuesday, February 25, 2014

Krim penyempurnaan kulit muka



KRIM BB mampu mengatasi masalah tona kulit tidak sekata dan menutup garis-garis kedutan.


SEORANG wanita berkerjaya mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebelum bersiap ke tempat kerja, sehinggakan ada kalanya mereka terpaksa bersiap dan melakukan pembetulan pada solekan semasa dalam perjalanan.
Namun demikian, sebenarnya terdapat pilihan yang lebih bijak agar wajah kelihatan sempurna sepanjang masa. Penggunaan krim kecantikan yang dikenali sebagai krim BB merupakan solusi bagi kebanyakan wanita memandangkan kesemua ketidaksempurnaan pada wajah dapat diperbaiki dalam satu sapuan sahaja. Ini sekali gus menghasilkan wajah yang kelihatan lebih sihat dan menarik.
Krim pelbagai guna ini menjanjikan keajaiban dalam satu tiub yang diidam-idamkan oleh wanita masa kini. Berguna sebagai pelembap, krim rawatan muka, penyamar noda (concealer) dan sapuan asas, krim BB dilihat sebagai krim revolusi dunia kecantikan.
Ia boleh digunakan secara tersendiri sebagai pelembap berwarna, selepas sapuan serum wajah atau sebelum pemakaian bedak, bergantung kepada liputan yang diingini pengguna.
"Idea asal penghasilan krim BB ini ialah sebagai satu krim untuk semua," demikian kata seorang pakar kimia Makmal Englewood di New Jersey, Amerika Syarikat, Ni'Kita Wilson.
Walaupun tidak disarankan sebagai satu pilihan yang muktamad, Krim BB turut mempunyai elemen tambah nilai seperti kemampuan melindungi kulit daripada sinaran matahari dengan kandungan faktor perlindungan mentari (SPF) 30 atau lebih.

CELA pada wajah dapat disembunyi dan diperbaiki dengan efektif.


Antara keupayaan umum krim BB:
- Mempunyai komponen antipenuaan termasuk peptid dan antioksida seperti vitamin A, E dan C
- Melembut kulit.
- Menyamaratakan tona kulit.
- Memberi seri tambahan kepada wajah.
- Menjadikan kulit lebih lembut dan licin.
Dalam pada keajaiban yang dikongsi mengenai Krim BB, terdapat juga cabaran dalam pemilihan krim ini agar warnanya berpadanan dengan warna kulit si pengguna.
Lazimnya ia didatangkan dalam beberapa bayangan warna iaitu antara tiga hingga lima bayangan. Namun demikian, warna yang paling gelap juga kelihatan agak cerah kerana itu sifat krim BB itu sendiri. Jadi, usah terkeliru dengan pemilihan anda.
Terdapat segelintir pakar dermatologi yang menyarankan agar krim 'ajaib' ini tidak digunakan bersama krim pencegah jerawat kerana boleh memudaratkan keadaan kulit. Oleh itu mereka yang mempunyai jenis kulit biasa kepada berminyak dan warna kulit sederhana hingga cerah serta yang tidak memerlukan pelembap yang terlalu banyak sesuai mengaplikasi krim ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: