|
SABAN tahun, industri seni tempatan sering menerima kehadiran bakat-bakat baharu terutamanya dalam bidang lakonan. Walaupun masing-masing cuba mengetengahkan bakat yang dimiliki, namun, tidak semua dikurniakan nasib yang baik dalam usaha untuk menempa nama serta mengapai status populariti dalam bidang tersebut.
Ada dalam kalangan mereka yang cukup bernasib baik apabila naskhah drama atau filem pertama yang dimainkan mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Dalam sekelip mata sahaja, pelbagai anugerah dan pengiktirafan berjaya dirangkul. Tetapi, ada juga yang masih termanggu menanti peluang untuk menonjolkan diri agar diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar.
Berkongsi kisah hampir serupa, tiga pelakon berbakat besar yang masih utuh melestarikan kelangsungan karier dan bakat mereka, Intan Ladyana, Shah Iskandar dan Shukri Yahaya yakin dengan percaturan yang dilakukan sewaktu mula-mula mahu bergelar sebagai seorang anak seni.
Ikuti temu bual bersama ketiga-tiga mereka tentang istilah populariti sewaktu berkesempatan singgah ke lokasi penggambaran drama bersiri Jika Itu Takdirku di Hospital Umra, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Percaya rezeki
Kira-kira lapan tahun yang lalu, tuan empunya nama Intan Nurladyana Mohamad Yahaya atau Intan Ladyana, 32, muncul buat pertama kalinya sebagai pelakon menerusi filem Tipah Tertipu The Movie.
Kemudian, dia mencuba nasib sebagai pelakon televisyen menerusi drama komedi Puteri dan Bio-Nik sebelum popular dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Adnan Sempit.
Sepanjang tempoh tersebut, pelakon berdarah campuran Melayu-Thailand ini tidak pernah menerima sebarang pengiktirafan mahupun anugerah walaupun mutu lakonan yang ditampilkan agak memberangsangkan.
Percaya dengan rezeki dan ketentuan, kekasih kepada pelakon Kamal Adli ini tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita dan impian sebagai seorang pelakon serba boleh.
|
"Walaupun sudah lama menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya masih belum menerima sebarang anugerah. Bagaimanapun, saya pernah tercalon dalam Anugerah Skrin serta Festival Filem Malaysia beberapa tahun lalu menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
"Pada pendapat saya, berpeluang dicalonkan dalam anugerah yang dinilai oleh juri profesional sudah cukup memadai. Berbanding dengan anugerah-anugerah yang meletakkan kuasa pemilihan kepada para peminat, anugerah seperti ini mampu untuk mengukur sejauh mana pencapaian kita sebagai seorang pelakon.
"Saya percaya kepada rezeki. Dalam masa yang sama, saya akui populariti itu juga satu elemen yang sangat penting. Tetapi, jika kita mahu terus kekal dalam bidang lakonan, bakat dan populariti perlu berjalan dengan seiring," ujar Intan yang kini lebih selektif dalam pemilihan watak untuk dilakonkannya.
Percaya dengan karakter Seri Umairah yang didukungnya menerusi drama terbaharu slot Akasia, Jika Itu Takdirku, Intan begitu yakin dengan kekuatan serta keaslian jalan cerita drama 24 episod arahan Eoon Suhaini itu.
"Saya akui, ramai peminat drama bersiri di luar sana lebih meminati drama yang diadaptasi daripada novel. Lebih-lebih lagi apabila drama lakonan saya ini menggantikan drama bersiri pujaan ramai, Ariana Rose.
"Tetapi, saya yakin kekuatan jalan cerita Jika Itu Takdirku mampu untuk berdiri setanding dengan drama-drama yang lain," jelas Intan yang begitu menginginkan watak-watak adiwira yang melibatkan babak pertarungan dan seni mempertahankan diri.
Watak tempelan
Bagaikan sudah menjadi lumrah dalam bidang seni, tidak semua pelakon baharu diberi kepercayaan untuk memegang watak penting sebagai teraju utama sesebuah filem.
Bagi anak jati Singapura, Shah Iskandar, 32, insiden diminta untuk menukar watak utama kepada watak tempelan sememang masih segar terpahat dalam ingatannya.
"Selepas menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur daripada Datuk Yusof Haslam, saya ditawarkan pula untuk melakonkan watak utama dalam filem Khurafat yang diarahkan oleh anaknya, Syamsul Yusof.
|
"Tetapi, atas sebab-sebab tertentu, nama saya terpaksa digugurkan dan diganti dengan watak tempelan iaitu Orang Kampung 1.
"Saya masih ingat sehingga sekarang, dengan berbekalkan dialog: Pak Imam, Pak Imam, Tok Ali kena rasuk, saya berjaya untuk melakonkan satu babak dalam filem tersebut. Walaubagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa.
"Saya masih berusaha untuk membina karier di Malaysia agar tidak dilabel sebagai bakat dari sebarang yang masuk hanya sekadar untuk tempelan sahaja. Alhamdulillah, bertitik tolak daripada insiden itu juga saya sudah mula dikenali," katanya.
Melanjutkan perbualan mengenai drama Jika Itu Takdirku, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri popular Nora Elena itu mengakui berasa sedikit tertekan sepanjang membawakan watak Hakimi Ehsan.
"Watak Hakimi digambarkan sebagai seorang pemuda nakal yang mengalami amnesia. Jika diteliti secara halus, watak tersebut tidaklah terlalu berat. Sepanjang penggambaran berlangsung, pengarah telah memperuntukkan dua sesi dalam sehari untuk saya.
"Pada sebelah pagi, saya melakonkan watak Hakimi yang berada dalam keadaan sihat. Pada waktu petang pula saya terpaksa mengubah fokus lakonan saya kepada watak Hakimi yang dilanda Amnesia. Proses ini memerlukan mainan jiwa yang mendalam.
"Tetapi, saya berasa sangat beruntung kerana pengarah sangat membantu saya dalam usaha untuk merealisasikan watak Hakimi," ujar Shah Iskandar yang turut dikenali sebagai pengacara ketika berada di Singapura.
Populariti datang sendiri
Sudah hampir dua tahun Shukri Yahaya, 26, mengorak langkah sebagai seorang pelakon. Tetapi, nama Shukri tidaklah segah seperti nama pelakon-pelakon lain yang seangkatan dengannya.
Walaupun begitu, momentum perkembangan bakat lakonannya yang dicungkil oleh pengarah Osman Ali menerusi filem Jiwa Taiko itu dilihat tidak menghampakan.
Dilabel sebagai tidak popular, pelakon yang pernah tercalon dalam Anugerah Skrin 2013 ini percaya bahawa status itu akan datang dengan sendirinya apabila sampai waktu dan ketika.
"Saya terjebak dalam dunia lakonan secara tidak sengaja. Disebabkan itu, saya tidak pernah meletakkan sebarang penanda aras dalam kerjaya saya sebagai seorang pelakon.
"Saya juga percaya, jika lakonan seseorang pelakon itu hebat, pasti bakatnya akan dihargai oleh peminat. Dari situ, populariti akan muncul dengan sendirinya," jelas Shukri yang mula dikenali menerusi drama bersiri Menjinak Ombak.
Ternyata semakin serius dalam bidang lakonan, Shukri yang memegang watak sebagai Azri dalam Jika Itu Takdirku berkata, dia bersedia untuk mencuba watak-watak baharu yang lebih mencabar pada masa akan datang.
"Dalam drama ini, watak yang saya mainkan tidaklah begitu berat berbanding karakter Firhad dalam Menjinak Ombak. Cuma, saya perlukan masa yang lebih untuk serasi dengan karakter Seri Umairah kerana ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Intan," jelasnya sambil ketawa.
Selain watak antagonis, Shukri turut menyimpan hasrat untuk membawakan watak yang tidak pernah dibawa olehnya sebelum ini.
Tambah Shukri: "Saya mahukan satu watak yang mencabar. Mungkin satu hari nanti saya boleh melakonkan watak seorang polis, siapa tahu?" ujarnya yang kini muncul menerusi telemovie berepisod (super-tele) berjudul Dendam 5 Beradik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: