|
BERCAKAP tentang karisma, barangkali itu yang dipunyai oleh penyanyi kelahiran Filipina yang menggunakan nama pentas Mark Adam. Langkah Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam, 34, tidak mudah kerana pada awalnya ramai tidak menyedari kehadiran penyanyi lelaki kacak itu.
Single Sampai Nanti milik Mark yang dicipta oleh DJ Cza pada tahun 2012 bukti percubaan Mark untuk menembusi pasaran tempatan tidak berhasil.
Bangkit kembali menerusi pertaruhan single keduanya berjudul Pencuri sekitar pertengahan tahun lalu, Mark membuka mata banyak pihak.
Kemudian, dia menyusuri arus perdana, diangkat untuk menjadi pembuka beberapa acara berprestij tempatan dan menyerikan beberapa majlis besar menerusi lagu Pencuri, Mark kini meletakkan lagu baharunya, Si Katak untuk dinilai pendengar.
Si Katak
Si Katak mempunyai rentak yang mesra telinga dan lirik unik, yang sebenarnya hampir sama dengan lagu Pencuri. Begitu juga susur galur penciptaan lagu itu yang asalnya daripada lagu berbahasa Inggeris.
"Lagu ini asalnya daripada lagu Pimples iaitu sebuah lagu yang dicipta dan ditulis dalam bahasa Inggeris, kemudian DJ Fuzz menyusun kembali melodinya dan lirik pula ditukar dalam bahasa Malaysia oleh Adeeb Nahar, manakala judulnya diubah menjadi Si Katak.
"Jelas sekali kedua-dua judul itu mempunyai makna yang berbeza. Pimples menceritakan keadaan seorang gadis yang sudah bersedia untuk bertemu dengan jejaka idamannya setelah sekian lama memendam rasa.
"Sementara Si Katak pula mengisahkan situasi seorang jejaka yang tidak yakin untuk berjumpa dengan gadis yang dicintainya kerana merasakan dia tidak kacak," ujarnya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
|
Pimples dicipta oleh Mark pada bulan Oktober tahun lalu setelah menyimpan lagu itu beberapa tahun sebelum berkahwin dengan isterinya pada 2003.
"Lagu ini banyak menceritakan tentang kehidupan saya suatu ketika dulu dan bersangkut-paut dengan hubungan saya dan isteri.
"Saya fikir setiap individu dalam dunia ini yang bercinta kadang-kala merasakan perasaan yang sama seperti saya. Jadi saya luahkan menerusi lagu dengan harapan orang lain pun dapat merasainya," katanya.
Sebelum dialih bahasa, Pimples terlebih dahulu telah berjaya menembusi pasaran muzik Filipina apabila lagu itu disenaraikan antara lagu popular di MTV Asia 2013 dan sering diputarkan di negara kelahiran Mark itu.
Sebutan
Bercerita lebih lanjut mengenai koleksi lagu yang ditulis dan dicipta sendiri oleh Mark, guru vokal The Singing Shop itu memberitahu dia kini memiliki lebih 100 buah lagu yang disimpan sejak zaman remaja hingga sekarang.
"100 buah lagu itu menunggu masa untuk dirakamkan dalam format studio. Setiap kali saya mempunyai idea untuk menulis atau berkarya, saya akan merakamkan lagu saya menerusi telefon saja.
"Ia kemudian disimpan dalam bentuk digital, mana tahu suatu masa nanti boleh dipakai. Biasanya lagu-lagu yang saya cipta menceritakan mengenai kehidupan dan pengalaman saya sehari-hari.
"Kadang-kadang kalau selalu berimaginasi pun boleh timbul idea untuk mencipta lagu," tambahnya.
Selepas meninggalkan tanah airnya, Pulau Cebu, Filipina, untuk berhijrah ke Malaysia lebih 13 tahun lalu, Mark mengakui dia masih mempunyai masalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.
"Guru saya adalah isteri saya. Selama ini saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas vokal. Malah sampai sekarang saya ada masalah untuk menyebut beberapa perkataan bahasa Melayu.
"Paling sukar adalah untuk saya menyebut perkataan 'melekat' dalam lagu Pencuri. Walau diajar berulang-ulang kali pun memang susah untuk saya sebut perkataan itu," jelasnya.
|
Rosakkan lagu
Bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music yang dikelolakan oleh DJ Fuzz, Mark tidak merasakan kehadirannya dalam industri hiburan Malaysia berada dalam tahap selesa.
Katanya, dia masih cuba untuk menyesuaikan diri dalam pasaran muzik arus perdana dan berusaha untuk menempatkan diri sebaris penyanyi popular lain.
"Saya fikir, barangkali kalau saya bukan orang luar, mungkin saya tidak terlalu diberi perhatian. Namun, saya tidak pernah menggunakan kelebihan itu sebagai alat untuk meraih populariti.
"Alhamdulillah, rezeki saya kini cukup untuk membuatkan hidup saya lebih selesa berbanding sebelum ini. Masih banyak yang perlu saya lakukan untuk masyarakat menerima genre muzik saya dan diri saya sendiri," kata Mark yang memperjuangkan genre pop alternatif.
Lagu Pencuri yang banyak dinyanyikan semula oleh pelayar di laman sosial seperti YouTube bagaimanapun melihatkan satu perkembangan positif kepada karier Mark.
"Saya tidak kisah kalau lagu Pencuri dinyanyikan semula dalam pelbagai versi malah ada macam-macam video yang dimuat naik di YouTube sangat melucukan.
"Hal ini membuktikan lagu itu berjaya sampai ke telinga pendengar dan mereka menerimanya, ini satu perkembangan yang positif. Mereka tidak merosakkan lagu saya pun," jelasnya yang menggemari sepotong video nyanyian dua orang kanak-kanak sambil bermain ukulele.
Mark kini dalam rangka promosi single terbaharunya bersama Ainan Tasneem dan Juzzthin berjudul Malunya. Lagu itu dicipta oleh DJ Fuzz dan Mark sendiri serta liriknya ditulis oleh Adeep Nahar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: