Thursday, February 27, 2014

Lima rumah dipecah masuk


  • Lima rumah dipecah masukKawasan perumahan yang menjadi sasaran pencuri.

SENAWANG - Taman Nusa Intan, di sini gempar apabila lima kediaman penduduk menjadi mangsa pecah rumah secara serentak, semalam.

Menurut mereka, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, penjenayah menyasarkan rumah di sekitar Lorong 5/1 taman berkenaan tatkala pemilik keluar bekerja.

Salah seorang mangsa, Mohd Isa Ipit, 72, yang bekerja sebagai pemandu teksi dan baharu dua bulan menetap di taman itu merupakan individu pertama menyedari kejadian tersebut.

“Masa itu, saya baharu pulang menghantar penumpang. Sebaik tiba di rumah kira-kira jam 11.45 pagi, saya mula rasa tidak sedap hati apabila mendapati pagar terbuka dan pintu gril pula sudah diumpil.

“Bagai hendak gugur jantung saya apabila melihat keadaan dalam rumah yang bersepah sana-sini gara-gara digeledah pencuri,” katanya.

Menurutnya, akibat insiden itu, dia dan isteri dianggarkan kerugian lebih RM7,000 dalam bentuk barang kemas, televisyen dan kamera.

“Pencuri memang tidak berhati perut. Wang RM400 yang saya simpan dalam almari untuk dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji pun mereka kebas.

“Tidak cukup dengan itu, pencuri turut mengambil alat solek dan kasut isteri saya. Bagaimanapun, saya reda dengan dugaan ini,” katanya.

Maslina Abd Rashid, 28, pula bagaikan tidak percaya dengan insiden yang berlaku memandangkan dia sudah mendiami taman berkenaan bersama suami sejak Ramadan tahun lalu tanpa sebarang masalah.

“Barangan berharga milik kami hilang sekelip mata, sedangkan kesemuanya masih ada sebelum pergi kerja,” katanya yang turut memberitahu pencuri sempat makan sebiji pisang atas meja berdasarkan sisa ditinggalkan.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mereka kehilangan tiga televisyen, Sony PSP, Sony PSVita, komputer riba dan wang tunai RM100.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Norhamizi Sujak, 35, kerugian hampir RM4,000 selepas televisyen dan komputer ribanya dibawa lari.

“Namun, agak menghairankan apabila tabung botol yang penuh berisi wang syiling dan wang kertas tidak pula diendahkan pencuri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Nusa Intan, Abu Bakar Budin, 58, ketika ditemui berasa amat kesal dengan insiden terbabit memandangkan penduduk sudah berusaha keras menanganinya.
“Kira-kira 14 kejadian pecah rumah berlaku sejak taman ini mula dihuni penduduk, di mana puratanya dalam lingkungan sebulan sekali. Bagaimanapun, sudah hampir tiga bulan tidak berlaku kecurian apabila KRT ditubuhkan.    
“Kita sifatkan kejadian hari ini (semalam) sebagai kes lepas geram atau balas dendam penjenayah terhadap penduduk kerana cuba mengekang aktiviti jahat mereka. Sebab itulah, sampai lima rumah sekali gus jadi sasaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: