|
SIAPA sangka pesanan yang dititipkan oleh arwah ayah sewaktu dirinya dalam berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mateen menjadi azimat berharga buat Farah Nadia Manja Abdul Rahman dalam meneruskan kehidupan.
Ketika itu, dia hanya berbual-bual kosong bersama ayahnya, Abdul Rahman Abu Bakar mengenai beberapa perkara termasuk minatnya dalam bidang masakan.
Kemudian, sebelum perbualan itu berakhir, ayahnya berkata dalam nada perlahan: “Lakukan perkara yang kita sukai agar tidak tertekan dengan kehidupan yang dijalani.”
Bertitik tolak dari situlah, Farah Nadia akhirnya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan Manja’s Kitchen yang diusahakan secara dalam talian sejurus selesai berpantang.
“Saya masih ingat sekitar bulan Julai 2011, perbualan bersama ayah sangat mengujakan. Namun, siapa sangka dua bulan kemudian bersamaan dengan tarikh 25 September 2011, ayah pergi dijemput Ilahi.
“Meskipun sedih, tetapi saya tetap bersyukur kerana telah melaksanakan pesanan ayah agar membuat perkara yang digemari iaitu membuat kek dan biskut untuk dijual.
“Perniagaan Manja’s Kitchen sudah memasuki tahun ketiga penubuhannya. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai jihad keluarga dalam bidang ekonomi,” ungkap Farah Nadia, 29, ketika ditemui Kosmo! di Taman Melati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
|
Produk terbaharu
Dalam usaha mengembangkan perniagaan, Manja’s Kitchen kini tampil dengan produk terbaharu yang dinamakan wepang iaitu sejenis makanan berkhasiat untuk tenaga dan perkembangan minda.
Pada mulanya, wepang tersebut dibuat berdasarkan permintaan daripada pelanggan tetap Manja's Kitchen ketika bulan Ramadan tahun lalu.
Justeru, Farah Nadia bersama kakak dan adiknya berusaha menyiapkan lebih 100 balang wepang sepanjang bulan puasa.
“Melihat sambutan yang amat memberangsangkan itu, saya yakin produk wepang ini boleh pergi lebih jauh. Oleh itu, kami menggunakan medium laman sosial Facebook untuk mempromosikannnya.
“Kini, setiap hari kami boleh menghasilkan 600 peket wepang dengan berat kira-kira 25 hingga 27 gram bagi setiap bungkusan,” ujar Farah Nadia yang kini sarat mengandung anak kedua.
Tempahan
Sementara itu, suami Farah Nadia, Mahathir Rahmat, 32, memberitahu, selain menerima tempahan secara dalam talian, pihaknya turut memasarkan wepang Manja’s Kitchen di restoran-restoran sekitar Kuala Lumpur.
Biasanya, Mahathir akan meletakkan satu atau dua balang di restoran yang terlibat. Setiap balang mengandungi 30 peket wepang yang dijual pada harga RM90 atau RM3 sepeket.
“Setakat ini, wepang yang kami letak di kedai atau restoran habis dijual. Malah, ada peniaga yang membeli secara borong antara 30 hingga 50 balang sekali gus.
“Kami juga mempunyai pelanggan sejauh dari Singapura yang menunjukkan minat terhadap produk wepang ini. Insya-Allah, kami masih dalam proses untuk memasarkan produk ini di Kota Singa itu,” jelas Mahathir yang mengakui adakalanya tidak menang tangan dengan tempahan yang diterima terutama ketika musim perkahwinan.
Dalam pada itu, bagi Nur Illyana Manja Abdul Rahman, 20, peluang membantu perniagaan kakak dan abang iparnya tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
Seronok
Walaupun mempunyai kelulusan dalam Diploma Pastri dari Universiti Tun Abdul Razak yang membolehkannya bekerja di hotel atau restoran terkemuka, tetapi Nur Illyana membuat keputusan sebaliknya.
“Seronok apabila bekerja dengan ahli keluarga sendiri. Skop tugas saya adalah menggaul bahan-bahan untuk membuat wepang dan membakarnya mengikut suhu yang ditetapkan. Tambahan pula, apabila menggunakan oven baharu yang lebih besar dan mudah diselenggara.
“Waktu mula-mula dulu, memang selalu wepang yang dibakar hangus dan tidak dimasak sempurna. Tetapi lama-kelamaan perkara ini boleh dielakkan,” tutur Nur Illyana sambil menyatakan wepang perlu dibakar pada suhu 180 darjah Celcius selama kira-kira 12 minit.
Menggunakan badam sebagai bahan utama iaitu sebanyak 90 peratus, diikuti biji kuaci, bijan hitam dan campuran gula, wepang Manja’s Kitchen semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
Perkara ini diakui Mohd. Nazim Mohamad, 34, yang merupakan antara pelanggan setia produk wepang Manja’s Kitchen sejak kali pertama menikmatinya di rumah ibu mertua di Setapak.
“Boleh dikatakan kali pertama merasai wepang tersebut, hati saya sudah tertawan. Apatah lagi kandungannya terdiri daripada badam yang berkhasiat untuk meningkatkan daya ingatan dan memberi tenaga.
|
“Kini, setiap minggu saya dan isteri pasti akan memesan 10 balang wepang untuk dijual kepada rakan-rakan sepejabat. Tidak ketinggalan, ia turut dijadikan kudapan harian di rumah atau untuk menjamu tetamu,” kata Nazim, seorang ahli perniagaan dalam bidang minyak dan gas yang kini bergelar ejen jualan wepang Manja’s Kitchen.
Sementara itu, individu yang mengusahakan bisnes produk serupa atau dikenali sebagai wepang secara kecil-kecilan, Nurul Izza Rosly, 32, berkongsi pengalaman mengenai populariti produk tersebut.
Menurutnya, rutin membuat wepang dilakukan secara sepenuh masa sejak berhenti kerja pada November tahun lalu.
“Saya mula cuba membuat produk ini pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu dan ternyata ramai pula yang menggemarinya. Sekarang setiap hari memang ada tempahan untuk membeli wepang.
“Walaupun penat kerana saya menyiapkan tempahan seorang diri, tetapi kepuasan itu akan terasa apabila berjaya melakukannya dan menerima pujian daripada pelanggan,” ungkap Nurul Izza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: