KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Arja Lee mendedahkan sedang berkawan rapat dengan aktres Shima Anuar seperti mana digembar-gemburkan sebelum ini.
Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, mereka telah berkenalan sejak setahun lalu dan dia mengaku menyukai wanita berkenaan.
"Benar kami sedang berkawan rapat dan saya menyukai dia malah yakin dia juga mempunyai perasaan sama terhadap saya.
"Bagaimanapun saya tidak berani untuk mengatakan kami bercinta tetapi dia adalah wanita yang rapat dengan saya ketika ini," katanya kepada mStar Online.
Arja ditemui selepas pelancaran single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka di Lambang Sari, Istana Budaya di sini pada Rabu.
Tambah Arja, buat masa ini dia tidak mahu memfokuskan kepada soal cinta kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang sedang meningkat naik.
Bagaimanapun kata pelakon drama Ariana Rose itu dia menyasarkan untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia 33 tahun.
"Sebelum berkahwin saya mahu mencapai semua cita-cita saya dan membina nama dalam bidang hiburan sebelum berkahwin.
"Sekarang umur saya 30 tahun dan ada masa tiga tahun untuk saya betul-betul memberi fokus kepada kerjaya sebelum berkahwin.
"Bukan tidak mahu kahwin memandangkan usia pun semakin meningkat tetapi saya ada tanggungjawab terhadap keluarga dan diri sendiri selain mengukuhkan ekonomi terlebih dahulu," jelasnya.
Dalam pada itu, Arja berkata, kemunculan single pertamanya itu bukan untuk membuktikan kepada mana-mana pihak bahawa dia boleh menyanyi sebaliknya ia merupakan impian sejak kecil.
Kata Arja, dia tidak kisah tentang pandangan orang lain terhadapnya kerana dia bekerja keras untuk memastikan kerjaya seninya terus berkembang.
"Mungkin saya beberapa kali mencuba nasib dalam beberapa program realiti tetapi nampaknya rezeki tidak menyebelahi saya.
"Tetapi ini adalah usaha bahawa saya serius untuk bergelar penyanyi dan penghasilan single ini adalah buktinya," ujarnya.
Tambah Arja, arwah ibunya yang meninggal dunia tahun lalu adalah pemangkin semangat terbesarnya untuk terus bertahan dalam industri ini.
"Saya mengalirkan air mata kerana teringatkan arwah ibu kerana dia tidak sempat melihat kejayaan saya. Ketika menyanyi lagu pertama saya itu, saya membayangkan dia berada di hadapan saya," katanya.
Bercerita lanjut mengenai Cerita Pada Mereka, Arja berkata, lagu tersebut dicipta khas oleh komposer dan penulis lirik Keroz Nazri dua tahun lalu.
Bagaimanapun Arja tidak mahu terburu-buru mengeluarkan single berkenaan dan memilih 2014 untuk melancarkan karier nyanyiannya.
Sementara itu, Arja berkata, dia tidak akan meninggalkan dunia lakonan kerana cabang seni itu yang menaikkan namanya dalam industri hiburan tempatan.
Malah jadual lakonannya sudah penuh sehingga penghujung tahun ini dan bersyukur bakatnya semakin diterima baik oleh produksi dan peminat.
"Minat sebenar saya adalah nyanyian tetapi lakonan yang telah menaikkan nama saya.
"Apa yang penting pembahagian masa dan Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: