KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman memberitahu secara tiba-tiba dia teringat kisah ketika berusia 19 tahun semasa mengerjakan umrah bagaimana dia mencuri dan menjual barang kemas neneknya.
Raja Azmi, 55, berkata, sebelum berangkat ke kota suci itu, dia sudah menyenaraikan perkara-perkara buruk yang diingatinya untuk meminta ampun di depan Kaabah tetapi tidak pernah mengingati peristiwa berkenaan kerana ia telah lama berlaku.
"Saya langsung tidak ingat peristiwa itu sehinggalah saya berdoa meminta ampun di hadapan Kaabah saya tiba-tiba teringat peristiwa mencuri barang kemas nenek. Saya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah.
"Satu keajaiban kerana saya langsung tidak mengingati kejadian itu dan ia satu kebesaran Allah bagaimana kita boleh mengingati peristiwa besar yang kita tidak sangka," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, pemergiannya ke tanah suci selama 12 hari sejak 11 Februari lalu tidak ditemani suami sebaliknya dia ditemani rakan baiknya.
Jelas Raja Azmi, dia tidak dapat menggambarkan perasaan apabila menjejakkan kaki di Mekah kerana ia terlalu istimewa untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Tiada kata yang sesuai untuk menggambarkan perasaan berada di Mekah kerana ia mengatasi semua kata-kata yang ada dan saya yakin perasaan setiap orang yang pernah ke sana pasti berbeza-beza," katanya.
Tambah Raja Azmi, hatinya sentiasa berasa tenang dan solat yang dilakukan begitu khusyuk sehingga terlupa perkara-perkara lain di sekeliling.
"Pelbagai kebesaran yang dapat saya alami di sana yang antaranya ketika bersembahyang di Masjidil Haram, keadaan sangat sesak sehingga tidak mempunyai ruang untuk bersolat.
"Tetapi apabila azan berkumandang keadaan seperti dipermudahkan dan keadaan sempit itu tadi bertukar menjadi seperti luas dan dapat solat dengan selesa," katanya.
Raja Azmi berkata, selain mendoakan pelbagai perkara baik untuk diri sendiri keluarga dan rakan-rakannya, dia juga memberitahu turut mendoakan kebahagiaan bekas suaminya iaitu Jalani Mohamad Sidek dan isteri.
Sementara itu, Raja Azmi berkata, dia tidak berhasrat untuk mengerjakan umrah buat kali kedua sebaliknya ingin mengerjakan ibadah haji bersama suaminya, Mohd Eddie Ghazali, 45, pada tahun hadapan.
"Memandangkan umrah yang saya lakukan suami tidak ikut, jadi harap-harap ibadah haji nanti kami dapat pergi bersama-sama. Insya-Allah saya merancang untuk pergi pada tahun hadapan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: