Thursday, February 27, 2014

Harga kelapa muda naik


  • Harga kelapa muda naikNorasyikin membelah kelapa muda yang diminta pelanggan di gerainya di Jalan Abdul Rahman, Gong Tok Nasek.

KUALA TERENGGANU – Permintaan kelapa muda yang tinggi menyebabkan berlaku kenaikan harga buah berkenaan sehingga 50 sen sejak awal tahun lepas.

Jika sebelum ini, buah kelapa muda dapat dibeli dengan pembekal pada harga RM1.20 dari luar negeri tetapi kini ia meningkat kepada RM1.70 sebiji.

Perkara itu diakui seorang peniaga air kelapa, Norasyikin Ali, 39.

“Lima tahun dahulu, sebiji kelapa dari luar Terengganu terutama Bachok, Kelantan berharga RM1.20, tetapi sekarang ianya dijual RM1.70 sebiji.

"Begitu juga buah kelapa muda yang dipetik sendiri, dahulu harganya RM1 tetapi sekarang RM1.20 termasuk upah petik (pekerja)," katanya.

Kata Norasyikin, kos RM1.20 itu belum termasuk kos minyak kereta kerana biasanya kelapa muda banyak terdapat di Marang yang memaksanya memandu dari Kuala Terengganu ke Marang.

Namun begitu, biarpun kos meningkat, Norasyikin tetap menjual segelas air kelapa di gerainya di Jalan Abdul Rahman, Gong Tok Nasek, dekat sini, dengan harga RM1 hingga RM1.50.

Berbeza pula dengan harga sebiji kelapa muda yang dijual mengikut saiz, harga sebiji dijual dari RM2.50 hingga RM3 termasuk kelapa mawar, pandan dan kampung (biasa).

“Jika dahulu, harga sebiji boleh didapati dengan harga lebih RM1 tetapi tidak mencecah RM3. Kenaikan ini memang dirasai tetapi kebanyakan pelanggan tidak merungut kerana mereka juga memahami masalah kami (peniaga),” katanya.

Norasyikin yang turut dibantu suami, Mohd Akher Ramli, 50, berkata, dia seronok berniaga di situ kerana dekat dengan rumahnya di Kampung Mengabang Tengah berbanding di tempat lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: